4 ‘Pulau Bebas Cukai’ Di Malaysia Untuk Kaki Shopping
TARIKANApril 24, 2019 - 01:27 PM
Korang tahu tak bagi menarik lebih ramai pelancong asing dan tempatan serta merangsang pembangunan di Malaysia, Kerajaan sebenarnya telah bersetuju memberi status ‘Pulau Bebas Cukai’ kepada 4 buah perairan popular dalam negara.
4 pulau tersebut adalah Labuan, Langkawi, Tioman dan terbaharu Pulau Pangkor yang bakal diwartakan sebagai Pulau Bebas Cukai pada 1 Januari 2020.
Ini bermakna kesemua pulau itu dibebaskan dari duti import, cukai jualan, duti eksais dan cukai perkhidmatan.
Atau dalam erti kata lain ada barangan yang dijual di pulau-pulau berkenaan adalah lebih murah harganya berbanding di tempat lain.
Jom kita tengok apa barang-barang menarik yang boleh diborong di pulau-pulau bebas cukai ini!
#1. Labuan, Sabah
Labuan terletak kira-kira 10 kilometer dari pantai Sabah dan digelar sebagai Mutiara Borneo.
Labuan mempunyai daya tarikan istimewa terutama panorama pantai yang indah untuk menyaksikan matahari terbenam, aktiviti rekreasi air seperti snorkelling dan lawatan ke pulau-pulaunya.
Ia juga menjadi tumpuan sebagai destinasi percutian untuk para pelancong kerana statusnya sebagai pulau bebas cukai sejak 1 September 1956.
Di sini turut menawarkan pelbagai jenis barangan antaranya coklat, makanan dan tembakau dengan harga murah. Walaupun coklat boleh dibeli juga di tempat lain, istimewanya produk di zon bebas cukai Labuan jarang ditemui di tempat lain dan ada antaranya hanya boleh didapati di situ sahaja.
#2. Langkawi, Kedah
Langkawi yang terkenal dengan jolokan Pulau Lagenda ini sememangnya sangat terkenal dengan tempat beli-belah bebas cukai di kalangan pelancong asing dan rakyat Malaysia sejak ia diwartakan sebagai pulau bebas cukai pada 1 Januari 1987.
Antara lokasi shopping yang wajib singgah jika ke pulau ini tentunya Kompleks HIG atau nama penuhnya Haji Ismail Group.
HIG umpama syurga membeli-belah bagi sesiapa sahaja yang nak borong coklat, pinggan mangkuk, perfume, barangan dapur, perabot, beg dan pelbagai jenis cenderamata.
Tapi selain HIG, sebenarnya ada banyak lagi tempat shopping menarik yang murah seperti Pusat Beli Belah Saga, Kompleks Beli Belah Jetty Point, Pusat Beli Belah Zeno, Langkawi Parade Megamall, Idaman Suri, Cuban Attitude , Cable Car, Pusat Beli - Belah Langkawi Fair, Zon Shopping Paradise - Pantai Chenang dan Coco Valley - Underwater World Langkawi.
#3. Tioman, Pahang
Terletak sejauh 32km dari pantai barat negeri Pahang, lautannya kaya dengan khazanah laut terumbu karang yang menjadikan Pulau Tioman sebagai lokasi popular kepada mereka yang meminati aktiviti menyelam.
Status pulau bebas cukai diberikan kepada Tioman pada 1 September 2002 bagi menggalakkan lagi aktiviti bertaraf antarabangsa dijalankan di pulau ini selain menggamit kedatangan lebih ramai pelancong untuk menikmati keindahan semula jadi Pulau Tioman yang menakjubkan.
Kalau korang ke sini jangan lupa singgah di Vision Commerce di Kampung Tekek yang merupakan salah satu kedai bebas cukai terbesar di pulau itu. Di sini ada dijual pelbagai produk menarik seperti batik, t-shirt, coklat, cenderamata dan tembakau.
#4. Pangkor, Perak
Melalui Belanjawan 2019 yang dibentangkan pada November 2018, Pulau Pangkor akan dijadikan pulau bebas cukai baharu untuk merealisasikan potensi pulau itu sebagai pusat pelancongan seperti mana 3 pulau lainnya.
Pulau Pangkor akan mendapat status bebas cukai mulai 1 Januari 2020.
Pangkor juga akan dikecualikan daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Pelancong tempatan juga mengatakan bahawa status bebas cukai merupakan idea yang baik jika pihak berkuasa menggunakan status itu untuk membawa masuk kedai-kedai yang menjual barangan berjenama seperti coklat, minyak wangi dan pakaian.
Jika hal itu dapat direalisasikan, makin ramailah yang akan berpusu-pusu ke Pulau Pangkor lepas ni kan? Hehehe…selamat membeli-belah korang! Suka la tu!
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah