Itinerari 3 Hari 2 Malam Di Pulau Tioman

ITINERARY
August 21, 2019 - 01:47 PM


Minggu lepas, kami team Rileklah telah berkesempatan bercuti ke Pulau Tioman, Pahang selama 3 hari 2 malam.

Bagaimanapun, percutian kami kali ini lebih berkonsepkan santai-santai tanpa terikat dengan sebarang jadual, aktiviti atau itinerari seperti kebiasaannya. Pendek kata kami hanya ingin “rileks & chill” sahaja sambil menikmati keindahan Pulau Tioman. Hehehe…

Disebabkan percutian ke pulau ini adalah untuk kami berehat dan melupakan seketika tentang kerja, jadi kami juga memilih kaedah perjalanan yang kurang memenatkan iaitu dengan menaiki pengangkutan awam iaitu bas dan feri.

Berikut itinerari ringkas 3 hari 2 malam ke Pulau Tioman Rileklah:-

HARI PERTAMA

Selepas habis waktu bekerja pada hari Jumaat, kami terus ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) untuk menaiki bas terakhir pada pukul 11.45 malam ke Terminal Mersing, Johor.

Harga tiket bas Transnasional ialah RM32.80 dan tempoh perjalanan kira-kira 5 jam 30 minit.

Setibanya di Terminal Mersing pada pukul 5.30 pagi, kami mencari hotel di kawasan berdekatan untuk menumpang mandi dan solat Subuh sebelum meneruskan perjalanan ke Jeti Mersing dengan berjalan kaki kira-kira 10 minit sahaja.

Sebenarnya nak lagi senang korang pergi je ke Mersing Harbour Centre, betul-betul depan Jeti Mersing untuk mandi di tandasnya, caj cuma RM1.50 sahaja… lagi murah dan ada juga surau untuk korang solat.

Selesai mandi dan solat, kami terus beratur di Kaunter Tiket Feri juga di bangunan Mersing Harbour Centre untuk claim tiket feri yang dijadualkan berlepas pukul 10.30 pagi. Tiket feri kami siap-siap beli online untuk pergi dan balik dengan harga keseluruhan RM70 seorang.

Tips: Kalau pergi Tioman pada hujung minggu, korang dinasihatkan beratur awal sejam sebelum masa feri berlepas bagi mengelakkan kesesakan dan que yang panjang.

Dah dapat tiket feri, kami seterusnya pergi ke Kaunter Jabatan Taman Laut Malaysia Negeri Johor untuk membayar caj pemuliharaan taman laut sebanyak RM5 seorang. Ini kerana Pulau Tioman telah digazetkan sebagai Taman Laut Malaysia.

Selesai semuanya, kami terus melintas jalan untuk ke Jeti Penumpang Mersing. Sebelum naik feri pastikan korang pergi dahulu ke Kaunter Boarding Pass di sebelah kiri jeti untuk mendapatkan boarding pass dengan menunjukkan tiket feri masing-masing, barulah korang dibenarkan untuk masuk ke dalam feri.

Di Pulau Tioman, kami menginap di Paya Beach Resort, Kampung Paya iaitu hentian kedua daripada 5 pit stop yang akan dilalui oleh feri.

Perjalanan feri dari jeti Mersing ke jeti Kampung Paya mengambil masa 2 jam. Sampai sahaja kami terus check-in bilik dan makan tengah hari.

Petang harinya kami bersiar-siar di tepi pantai di depan resort untuk menikmati pemandangan matahari terbenam yang memang memukau dan cantik sangat kalau rakam video time-lapse atau tangkap gambar siluet dan muat naik ke Instagram. Hehehe….

Malamnya kami hanya menikmati makan malam di restoran berdekatan resort dan menghabiskan masa melihat bulan yang terang di tepi pantai sambil mendengar bunyi hempasan ombak di pantai. Rileks sangat rasanya…..

 

HARI KEDUA

Dimulakan dengan bersarapan pagi di resort dan mencari port-port cantik yang ada di sekitar Paya Beach Resort untuk bergambar Instagram.

Untungnya bilik penginapan kami betul-betul menghadap ke laut jadi memang sakan la kami bergambar. Hahaha…

Di Paya Beach Resort ni, selain bilik dengan ‘sea view’ korang juga boleh menginap di bilik yang terletak di kawasan paya semulajadinya. Suasananya juga tak kurang menarik dan lebih mendamaikan.

Selesai masing-masing berposing, kami makan tengah hari dan kemudian kami tempah Crystal Kayak dengan harga RM80 sejam daripada pihak resort untuk kami seakan ‘berjalan-jalan’ pula di atas permukaan laut yang sangat jernih airnya.

Pengalaman pertama kali mendayung di atas kayak kristal ni memang sangat menyeronokkan. Selain ia lebih ringan daripada kayak biasa, kita juga berpeluang untuk tengok ikan-ikan berenang di dalam laut hanya daripada lantai kayak yang seperti cermin.

Selesai berkayak, kami sewa pula jaket keselamatan (RM10) dan gogal (RM8) daripada pihak resort untuk aktiviti snorkelling. Walaupun kami berenang hanya di sekitar resort tetapi hidupan dasar lautnya dah cukup memukau dan sangat mempesonakan.

Kami meraikan malam terakhir di Pulau Tioman dengan aneka jenis lauk seafood di restoran berhampiran.

Seronoknya, rata-rata harga makanan dan barangan runcit di Kampung Paya adalah sangat berpatutan dan tidak semahal harga di pulau-pulau seperti kebiasaannya. Jadi korang tak perlu risau tentang harga dan mendapatkan makanan halal di sini.

 

HARI KETIGA

Selepas selesai bersarapan, kami meneruskan lagi aktiviti bergambar di tepi pantai sambil benar-benar menikmati kebiruan air laut jernih yang pasti akan dirindui setibanya kami di Kuala Lumpur.

Kami juga sempat berenang untuk kali terakhir sebelum check-out, memandangkan tiket feri balik kami adalah pada pukul 12 tengah hari.

Tips: Jangan lewat untuk menunggu feri di jeti kerana ketibaan feri adalah sangat punctual. Kena ada di jeti selewat-lewatnya setengah jam sebelum feri berlepas.

Memandangkan tiket bas untuk balik ke Kuala Lumpur dari Jeti Mersing adalah pada pukul 4.00 petang, kami isi perut di deretan kedai makan betul-betul bersebelahan jeti.

Kebiasaannya bas yang beroperasi dari Jeti Mersing adalah Sanwa Express dan korang boleh tunggu bas tersebut di tepi jalan sahaja iaitu di depan Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Mersing.

Tiada sebarang papan tanda disediakan bagi memberi maklumat mengenai hentian bas berkenaan dan ini mungkin boleh diperbaiki oleh pihak syarikat bas pada masa akan datang, kerana kami kasihan melihat pelancong-pelancong luar terpinga-pinga ke sana sini mencari hentian bas berkenaan.

Demikian sahaja percutian ringkas dan santai 3 hari 2 malam Rileklah di Pulau Tioman. Pulau ini sangat sesuai bagi korang yang tengah memerlukan 'Vitamin Sea' di hujung minggu! Selamat bercuti!

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah