Jom 'Ronda-Ronda Putrajaya' Naik Hop-On Hop-Off, RM18 Je!

JALAN-JALAN
February 28, 2020 - 03:07 PM


Kalau sebut nama Putrajaya, mesti ramai membayangkan ianya suatu lokasi yang membosankan dan tiada apa untuk dilawati memandangkan statusnya sebagai pusat pentadbiran negara.

Tetapi kalau korang meluangkan masa untuk explore wilayah tersebut, korang akan mendapati bahawa Putrajaya sebenarnya boleh menjadi sebuah destinasi jalan-jalan yang tak kurang menyeronokkan berbanding lokasi pelancongan lain dalam Malaysia.

Apatah lagi sekarang terdapat "Ronda-Ronda Putrajaya" yang menawarkan lawatan dengan menaiki bas 2 tingkat Hop-On Hop-Off dan dilengkapi khidmat pemandu pelancong.

Bas Ronda-Ronda Putrajaya itu beroperasi setiap hari dari pukul 3.30 petang sehingga 11 malam dan penumpang boleh naik serta turun di 2 stesen iaitu di Dataran Putrajaya, Presint 1 & Putrajaya Sentral, Presint 7.

Tiket bagi dewasa warganegara Malaysia adalah RM18 dan bukan warganegara RM28.

Manakala untuk kanak-kanak warganegara dan kanak-kanak warga asing masing-masing berharga RM10 dan RM20.

Lebih 15 tempat menarik yang dilalui oleh bas Ronda-Ronda Putrajaya itu termasuklah :-

- Bangunan Perdana Putra

- Masjid Putra

- Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC)

- Istana Melawati

- Tasik Putrajaya

- Bangunan sepanjang Persiaran Perdana

- Taman-taman awam

Dengan adanya produk pelancongan terbaru itu, para pelancong akan lebih mudah menikmati keindahan panorama Putrajaya serta informasi jelas tanpa memandu sendiri ke setiap lokasi yang ingin dilawati.

Bas 2 tingkat ini juga mesra golongan orang kurang upaya (OKU) dan boleh memuatkan 50 penumpang pada satu-satu masa.

Malah bas berkenaan turut memiliki pelantar pandangan terbuka di bahagian atas untuk memberi peluang kepada pelancong benar-benar menikmati suasana dan keindahan Putrajaya secara dekat.

Bagi mengetahui segala maklumat dan pembelian tiket Ronda-Ronda Putrajaya, boleh layari laman web rasmi 'Jom Ronda-Ronda Putrajaya'.

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah