Siapa Kata Kelantan Membosankan? Nah, 8 Tarikan Baharu Yang 'Awesome' Tuk Korang Explore Negeri Cik Siti Wan Kembang!

JALAN-JALAN
July 23, 2020 - 04:42 PM


Selepas Kerajaan membenarkan perjalanan rentas negeri serta memberi 'lampu hijau' kepada aktiviti pelancongan domestik -- pihak Tourism Malaysia tidak menunggu lama untuk kembali beraksi bagi merancakkan kempen Cuti-Cuti Malaysia bersama para pengamal media tempatan dan juga blogger termasuk wakil kami dari Rileklah!

Destinasi percutian pertama yang dipilih untuk fasa pelancongan dalam norma baharu adalah Kelantan Darul Naim.

Diberi nama program 'Ekspresi Media Kelantan 2020', seramai 15 pengamal media dan blogger dibawa oleh Tourism Malaysia selama 5 hari (16-20 Julai) untuk meneroka pelbagai lokasi menarik serta jarang diketahui oleh orang ramai bagi mempromosikan negeri yang diberi jolokan Cik Siti Wan Kembang.

Menariknya Cuti-Cuti Malaysia ke Kelantan atau lebih mesra disebut 'Kelate', kami diberi peluang untuk melancong berasaskan pengalaman atau ‘experiential tourism’ -- yang bukan sahaja melibatkan destinasi menarik malah turut mendekati budaya, warisan, makanan serta pelancongan berasaskan komuniti.

Dah namanya pun melancong dalam norma baharu dan rombongan kami juga tidak terlepas daripada mematuhi SOP yang ditetapkan seperti pemeriksaan suhu harian, memakai topeng muka dan sanitizer serta sentiasa menjaga penjarakan sosial.

Kami memulakan pengembaraan di negeri pantai timur yang juga dikenali sebagai negeri 'Serambi Mekah' dengan meneroka aktiviti nature di Dabong daerah Kuala Krai selama 2 hari sebelum bergerak ke bandar Kota Bharu.

Jom lihat senarai tempat menarik yang telah kami kunjungi dan apa aktiviti istimewa yang boleh dilakukan di sana :-

1) JELAWANG PIPE RESORT & EXTREME PARK

Bagi yang minat dan gemarkan percutian eko-pelancongan korang memang wajib jejakkan kaki ke Jelawang Pipe Resort & Extreme Park ini yang baru sahaja dibuka pada tahun 2018.

Selain menyediakan tempat penginapan yang di tepi sungai dengan pelbagai jenis bilik berbentuk 'Tube' dan 'Rumah 3 Segi' yang berwarna-warni, korang juga boleh melakukan pelbagai aktiviti ekstrem yang bakal menguji adrenalin korang seperti :

  • Flying Fox/ Zipline
  • Water Tubing
  • Via Ferrata
  • Waterfall Hiking
  • Caving
  • Abseiling
  • Rock Climbing
  • Paragliding
  • Berkelah
  • Mandi Sungai
  • Berkhemah

Berada di Jelawang Pipe Resort & Extreme Park selama 2 hari 1 malam, kami berkesempatan melakukan 3 aktiviti ekstrem yang memang terbaik dan best iaitu Zip Line sepanjang 180 meter dengan berlatarbelakangkan pemandangan Gunung Che Tahir dan Air Terjun Sungai Batu.

Selain itu, korang juga jangan terlepas untuk menelusuri gua batu kapur berusia 150 juta tahun di Kompleks Gua Ikan sebab di situ kalau bernasib baik korang akan dapat menyaksikan sendiri panorama yang jarang didapati di gua lain iaitu 'God's Light' -- di mana cahaya matahari masuk menembusi gua dan terus ke lantai gua serta menghasilkan satu pemandangan yang cukup menakjubkan untuk dirakam sebagai memori indah korang!

Korang juga wajib cuba aktiviti ‘tubing’ di Sungai Kenerong, Dabong, memang syiok habis! 

2) PASAR TERAPUNG PANTAI SURI

Memandangkan sekarang pintu sempadan negara belum dibuka akibat pandemik COVID-19 tetapi korang dah rindu untuk jalan-jalan ke pasar terapung di Hatyai atau Bangkok untuk cari makan -- korang jangan kecewa sebab di Kelantan juga sebenarnya telah ada 'floating market' pertama di Malaysia iaitu di Kampung Pantai Suri.

Kenapa namanya Pantai Suri? Ia diambil bersempena nama seorang bidan kampung bernama Puan Suri yang juga orang pertama yang meneroka kampung tersebut.

Menariknya untuk ke pasar terapung ini korang akan menaiki bot menelusuri sungai sebelum tiba di Kampung Pantai Suri yang menghimpunkan deretan sampan-sampan kayu yang menjual pelbagai makanan khas Kelantan seperti jeli kelapa, kerabu nipah, lokan bakar, etok-etok salai dan teh beng madu yang sedap-sedap belaka!

Konsep pasar di sini ialah korang beli di laut dan makan di darat. Malah tempat makan yang besar dan selesa juga disediakan untuk para pengunjung yang datang bersama keluarga.

Selain beriadah dan makan-makan, korang juga bakal dihiburkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan dan pertunjukan hobi masyarakat Kelantan.

Bagaimanapun, pasar terapung ini hanya dibuka pada setiap hari Sabtu bermula jam 10 pagi hingga 12.30 tengah hari. Jadi korang kena rancang betul-betul masa percutian korang kalau nak singgah ke sini.

Bayaran masuk sebanyak RM5 untuk dewasa dan RM3 untuk kanak-kanak, manakala tambang bot hanya seringgit seorang bagi sehala. Murah, kan!

3) BENGKEL BATIK AYU FASHION, KAMPUNG TALAK

Bagi korang yang gemar dengan seni warisan batik Kelantan korang boleh melawat Bengkel Batik Ayu Fashion di Kampung Talak.

Sebaik memasuki bengkel di situ korang akan dapat melihat lebih 5000 blok batik cop tergantung di premis Ayu Fashion yang mana setiap coraknya adalah direka eksklusif dan tidak akan dapat dijumpai di mana-mana.

Jika ke sini korang akan dapat menyaksikan sendiri proses membuat batik blok dari A hingga Z, malah korang boleh siap shopping kain batik yang cantik-cantik lagi.

Istimewanya kalau korang beli batik di Ayu Fashion ini, pemiliknya memberi jaminan bahawa corak batik dan warna yang ada dijual di situ tiada dua atau yang lain boleh dijumpai di seluruh Malaysia kerana ianya benar-benar eksklusif. Malah beliau memberi jaminan jika ada corak batik yang sama beliau sanggup membayar 2 kali ganda daripada harga kain berkenaan kepada pelanggan.

Perghhh...betul eksklusif corak batik dekat Ayu Fashion ni kan!

4) LEMBANGAN SUNGAI PENGKALAN DATU

Kalau tadi Floating Market Pantai Suri konsepnya beli di laut, makan di darat tetapi kalau korang ke satu lagi pasar terapung di Pengkalan Datu ini ia bertemakan beli di laut dan makan juga di atas air. Best, kan...

Tapi kalau ke sini korang wajib dan memang rugi kalau tak mencuba satu lagi tarikan baharu iaitu menelusuri Sungai Pengkalan Datu dengan menaiki 'Perahu Kolek' iaitu perahu tradisional yang menjadi kebanggaan rakyat di Kelantan.

Keindahan seni ukiran kayu yang terdapat di Perahu Kolek ini sangat mempesonakan dan dipercayai dibawa dari Pattani, Selatan Thailand.

Bayaran untuk menaiki Perahu Kolek ini hanya RM10 seorang dan ia dibuka kepada pengunjung pada setiap hari Sabtu dari jam 8 pagi hingga 2 petang.

 

Pengalaman menelusuri sungai itu bagi menikmati keindahan alam semula jadi sepanjang enam kilometer atau hampir sejam itu akan bermula di Jeti Pasar Terapung Pengkalan Datu dan pengunjung akan dibawa ke tempat-tempat menarik.

Lokasi menarik itu antaranya penempatan rumah Cina berusia 200 tahun lamanya, Masjid Ar-Rahman Pulau Gajah serta Pulau Nami, Bachok yang mempunyai pemandangan ribuan deretan pohon rhu serta rumah api yang paling rendah di dunia di tepi laut di Pantai Senok.

Lebih menarik korang juga akan berpeluang untuk singgah di tepi sungai bagi melihat sendiri keunikan aktiviti penduduk setempat seperti menuai nira nipah, mengutip lokan serta melihat habitat ikan air tawar iaitu ikan belacak.

 

5) 'COLLECTIBLES MUSEUM'

Ini satu lagi tarikan yang best untuk dikunjungi kalau korang bercuti ke Kota Bharu, Kelantan.

Collectibles Museum ini merupakan muzium Diecast pertama di Malaysia dan muzium hobi mainan pertama di Negeri Kelantan.

Di sini terdapat lebih 35,000 koleksi barangan moden dan klasik yang dikumpul sebagai hobi dan ada sesetengahnya berupa barangan edisi terhad dan sangat jarang ditemui di dunia.

Jika korang ke sini, korang berpeluang untuk menyertai aktiviti cabutan bertuah dan pelbagai kuiz menarik yang disediakan.

Muzium yang terletak di Taman Koperatif, Tanjung Chat, Kota Bharu ini dibuka setiap hari kecuali Jumaat dan beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 5.30 petang dengan bayaran masuk dewasa RM15 manakala kanak-kanak RM10.

6) GALERI WAYANG KULIT TRADISIONAL KELANTAN

Kelantan sangat popular dan sinonim dengan persembahan Wayang Kulit. Jadi bukan namanya korang melancong ke Kelantan kalau korang tak menonton persembahan warisan turun-temurun ini di Galeri Wayang Kulit Tradisional Kelantan di Kampung Morak, Palekbang.

Galeri ini dibangunkan oleh seorang Tok Dalang tersohor di Kelantan yang mesra dipanggil Pak Dain atau nama sebenarnya Muhammad Dain Othman. 

Beliau merupakan satu-satunya Tok Dalang Wayang Kulit Tradisional Kelantan yang mendapat akreditasi di negara ini serta mahir menguasai antara 30-40 watak wayang kulit.

Bagi memastikan warisan wayang kulit ini tidak pupus dan hilang ditelan zaman, Pak Dain juga turut menyediakan mini galeri, bengkel untuk belajar wayang kulit serta membuat patung wayang kulit.

Lebih istimewa Pak Dain juga ada membuat wayang kulit 'Star Wars' yang telah dipersembahkan di tiga buah negara iaitu Perancis, Singapura dan China bagi menambat hati orang luar dan golongan muda kepada warisan budaya Kelantan itu.

7) NAIK BECA KE ART STREET, PASAR SITI KHADIJAH & GERBANG REHAL

Mungkin bergambar cantik di Art Street dan Gerbang Rehal yang menjadi ikonik Kota Bharu serta membeli-belah di Pasar Siti Khadijah kedengaran agak biasa atau klise buat korang yang dah selalu ke Kelantan.

Tapi apa kata untuk merasai pengalaman yang berbeza dan lebih menyeronokkan korang pusing-pusing Kota Bharu dengan menaiki beca.

Tambang yang dikenakan hanya sekitar RM5 hingga RM10 bergantung kepada jarak destinasi yang korang nak tuju.

Jangan risau beca di Kelantan ini semuanya mempunyai enjin motosikal dan siap ada radio lagu yang memutarkan lagu-lagu klasik lama untuk mengimbau kenangan seakan-akan kita berada di zaman dulu. Memang seronok!

8) RS SERUNDING

Biasa kalau dah pergi bercuti mesti kita nak beli buah tangan untuk dibawa balik ke Kuala Lumpur kan...

Kalau di Kelantan antara ole-ole wajib yang korang kena beli adalah serunding atau turut dikenali sebagai 'sambal daging' di Kelantan.

Selain makan bersama ketupat, lemang dan dibuat isi popia -- serunding di sini juga sangat enak dan lazat apabila dimakan dengan roti potong atau Roti Gardenia.

Kalau korang nak beli serunding yang paling sedap di Kelantan korang boleh dapatkannya di RS Serunding di Kampung Laut.

Ini kerana selain menjual pelbagai jenis serunding warisan resepi turun-temurun, RS Serunding yang telah diasaskan sejak tahun 1985 ini turut memberi peluang kepada pelanggan untuk melihat sendiri proses pembuatan serunding yang dijual segar terus dari dapur mereka.

Kalau ke sini, korang juga jangan lupa untuk beli dodol, kuih gelembung buaya dan budu yang memang sinonim dengan makanan orang Kelantan.

Apa yang dapat Rileklah simpulkan daripada percutian 5 hari ke Negeri Kelantan ini sememangnya merupakan satu pengalaman percutian menarik yang kaya dengan pelbagai tarikan eko-pelancongan serta warisan budaya dan makanan tradisi yang korang takkan dapat di tempat lain.

Jadi bagi korang yang masih tak tahu nak ke mana untuk Cuti-Cuti Malaysia bersama keluarga atau rakan-rakan -- korang boleh jadikan Kelantan sebagai destinasi percutian terbaik yang takkan korang lupakan sampai bila-bila!

Yang pasti korang juga akan dapat banyak gambar-gambar cantik yang 'Instagrammable' yang boleh korang kongsi di media sosial masing-masing, confirm ramai yang akan like! Hehehe...

Apa pun setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak Tourism Malaysia yang menjemput kami di Rileklah untuk menyertai 'Ekspresi Media Kelantan 2020' yang super awesome ni!

Kredit Gambar : FB Vocab Kelantan, IG Mawardi Yunus & IG BackPackerz

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah