Pekan, Pahang: Destinasi Percutian Yang Bukan Biasa-Biasa!

JALAN-JALAN
January 03, 2020 - 11:20 AM


Kalau sebut tentang bercuti di Negeri Pahang, pasti ramai yang lebih gemar memilih untuk melancong ke Cameron Highland, Genting Highland, Bukit Tinggi, Pulau Tioman ataupun paling tidak ke Bandar Kuantan.

Tapi pernah tak korang terfikir untuk berjalan-jalan ke Bandar Diraja Pekan?

Mesti ramai yang tanya, ada apa kat Pekan kalau kita nak bercuti ke sana dengan keluarga atau kawan-kawan? Sebab yang kita tahu Pekan cuma tempat asal 'Najib Bossku' dan mesti membosankan!

Sebenarnya korang silap kalau cuma berfikir begitu. Ini kerana Pekan juga mempunyai pelbagai keunikan dan tarikan yang boleh membuatkan percutian korang semanis serta sangat menyeronokkan seperti destinasi pelancongan lain.

Ni bukan min nak gebang, tapi Pekan sememangnya bak kata orang "bukan kaleng-kaleng" atau bukan biasa-biasa tau! Tak percaya?

Jom kita tengok tempat-tempat menarik yang min pergi baru-baru ini bersama pihak AnCasa Royale Pekan, Pahang.

1. RIVER CRUISE MENELUSURI SUNGAI PAHANG

Ini merupakan aktiviti yang korang wajib cuba kalau datang ke Pekan sebab memang rugi kalau korang terlepas untuk menikmati keseronokan river cruise di sepanjang Sungai Pahang yang juga merupakan sungai terpanjang di Semenanjung Malaysia.

Macam mana nak join river cruise ni? 

Caranya mudah saja, korang boleh ambil pakej 'Sungai Pahang River Cruise' yang disediakan oleh pihak AnCasa Royale Pekan di mana pengunjung akan disediakan sebuah bot yang akan membawa korang berjalan-jalan selama 1 jam setengah. 

Sepanjang menelusuri Sungai Pahang yang luas itu korang akan dapat menikmati pemandangan dan singgah sebentar melihat sangkar-sangkar penternakan ikan patin yang jarang kita nak jumpa di tempat lain.

Min excited sangat bila singgah ke situ sebab ia merupakan pengalaman pertama min dapat memegang ikan kegemaran min iaitu ikan patin! Kat mata ni dah terbayang sedapnya ikan ni bila dimasak Gulai Patin Tempoyak nanti...hehehe...

 

2.  BERMAIN DENGAN ANAK BULUS DI PULAU KUCING / MEOW ISLAND

Kalau korang seorang yang sukakan haiwan terutamanya kucing, tempat ini sangat 'heaven' untuk korang lawati!

Pulau Kucing atau juga dipanggil Meow Island ini boleh diakses menerusi 2 laluan iaitu darat dan air.

Jika korang mengambil pakej River Cruise AnCasa Royale Pekanpemandu bot akan menurunkan korang di Pulau Kucing ini, tapi kalau korang nak datang sendiri ke sini boleh je Waze "Meow Island" atau cari Pusat Tenun Pekan sebab ia berdekatan je.

Sebenarnya Meow Island ni merupakan sebuah pusat perlindungan kucing terbiar yang diasaskan oleh seorang lelaki yang juga merupakan penduduk asal Pekan. Namun setelah beliau meninggal dunia, tempat itu kini diselia oleh beberapa sukarelawan termasuk dari luar negara seperti Perancis.

Sebaik saja tiba di Pulau Kucing ini korang pasti akan disambut dengan si bulus yang comel-comel sekitar 50 ekor yang laju je berkerumun di kaki korang minta dibelai. Memang seronok sangat!

Selain kucing, di sini juga terdapat kambing, itik, ayam dan monyet yang dipelihara dengan begitu baik sekali.

Disebabkan Pulau Kucing ini memelihara dan mengubati kucing-kucing terbiar, maka pengunjung sangat dialu-alukan untuk sama-sama menyumbang dana atau paling tidak membuat kerja-kerja sukarela seperti memberi makan, membersihkan sangkar-sangkar kucing atau menebas rumput-rumput panjang di sekitar tempat berkenaan.

Waktu Operasi: Dibuka Setiap Hari Kecuali Rabu

Masa: 1 Tengah Hari - 6.30 Petang

Bayaran Masuk: Dewasa (RM3) & Kanak-Kanak (RM1)

 

3. KEUNIKAN TENUN SUTERA PAHANG DI PUSAT TENUN CHE MINAH SAYANG

Macam yang kita tahu Pahang sangat terkenal dengan rekaan kain Tenun yang sangat elegan dan mahal serta sering menjadi pilihan fesyen Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah atau lebih popular dengan nama 'Che Minah Sayang' di kalangan netizen media sosial.

Bagi korang yang nak melihat sendiri proses membuat kain halus yang sangat eksklusif ini dari A sampai Z, korang boleh melawat Kompleks Budaya Pulau Keladi, yang menempatkan Institut Kemahiran Tenun Pahang (IKTPD).

Bila min dah tengok sendiri betapa rumit dan sangat memerlukan kemahiran tinggi serta kesabaran yang besar untuk menenun kain tersebut, barulah min faham sekarang kenapa Kain Tenun Pahang kadang dijual mencecah harga ribuan ringgit. 

Apatah lagi bila motif dan corak yang terdapat di atas kain Tenun Pahang tidak seperti rekaan tenunan tangan lain seperti songket yang hanya diselang-selikan dengan benang emas atau perak, namun Tenun Pahang coraknya lebih asas dan halus selain dihiasai dengan warna lembut.

Kalau korang nak cam mana satu kain tenunan Pahang, korang boleh mengenalinya menerusi corak asas, sama ada memanjang, atau dengan garis mendatar, atau kotak-kotak.

Satu lagi cara untuk mengenali Tenun Pahang adalah dengan perhiasan hiasan bunga kecil yang dikenali sebagai colek yang bertaburan di kain yang biasanya menggunakan benang logam, biasanya dengan ekor kecil.

Di Kompleks Budaya Pulau Keladi ini juga korang boleh melihat hasil karya terkini daripada pelajar-pelajar IKTPD dan ada sesetengahnya korang boleh beli tapi kalau dompet korang tebal la sebab harga kain Tenun Pahang bukan kaleng-kaleng ya! Hehehe....

 

4. MELAWAT RUMAH KELAHIRAN PERDANA MENTERI KEDUA, TUN ABDUL RAZAK

Selepas puas melihat dan membelek-belek kain Tenun Pahang yang mewah tu, korang jangan lupa untuk singgah melawat ke rumah tempat kelahiran Perdana Menteri Kedua iaitu Tun Abdul Razak Hussein.

Rumah yang diperbuat daripada kayu itu masih lagi tersergam indah dan kukuh. Di dalamnya korang boleh melihat sendiri beberapa barang peribadi milik keluarga Tun Abdul Razak yang juga bapa kepada Datuk Seri Najib iaitu Ahli Parlimen Pekan.

 

5. PIKNIK DI PANTAI AIR LELEH

Pada waktu petang jika korang dah penat berjalan-jalan di sekitar Pekan serta nak beristirehat sambil merasai kedinginan angin laut, korang boleh pergi berpiknik ke pantai terdekat iaitu Pantai Air Leleh yang hanya kurang 20 minit memandu dari bandar.

Menariknya, aktiviti berpiknik ini juga ada ditawarkan dalam pakej "Pantai Air Leleh Beach Picnic Gateaway" oleh AnCasa Royale Pekan.

Pihak AnCasa turut menyediakan bakul piknik yang dipenuhi dengan pelbagai jenis makanan dan juadah ringan yang disediakan sendiri oleh chef hotel tersebut. Best, kan? 

 

6. KUNJUNGI IKONIK PEKAN IAITU MUZIUM SULTAN ABU BAKAR

Selain dikenali sebagai sebuah Bandar Diraja, Pekan juga memiliki sebuah mercu tanda ikonik yang rugi kalau korang tak singgah iaitu Muzium Sultan Abu Bakar.

Bangunan putih yang menakjubkan ini dibina pada tahun 1920-an ketika era penjajahan British.

Pada mulanya ia merupakan kediaman rasmi seorang penduduk British semasa zaman kolonial sebelum diserang oleh tentera Jepun ketika Perang Dunia II dan kemudian menjadi istana rasmi Sultan Abu Bakar sebelum diubah menjadi sebuah muzium pada tahun1976.

Kalau korang luangkan masa di sini, korang akan dapat belajar tentang sejarah kerajaan Negeri Pahang serta susur galur keluarga Dirajanya dengan lebih jelas.

 

7. ISTANA ABU BAKAR & KELAB POLO ROYAL PAHANG

Semua pun tahu bahawa Pekan merupakan Bandar Diraja Negeri Pahang memandangkan di sanalah terletaknya istana diraja, Istana Abu Bakar.

Istana ini sebenarnya terletak di Kampung Padang Manggis dan kalau ke sini korang boleh bergambar kenangan berlatar belakangkan pintu masuk utama istana yang tersergam indah ini.

Tak jauh dari kawasan istana itu terletaknya pula sebuah kelab polo yang terkenal di Malaysia iaitu Kelab Polo Royal Pahang. Orang kata di sinilah lokasi di mana kaum kerabat diraja dan orang-orang kenamaan sering bermain sukan polo. 

Kalau tengah ada tournament atau latihan bolehlah kot kalau korang nak cuci-cuci mata di situ. Mana tau sangkut dengan sorang anak Raja. Hehehe...min gurau je!

 

8. 'TAJ MAHAL PAHANG' DI MUZIUM MASJID SULTAN ABDULLAH

Bagi yang tak tahu, Pekan juga mempunyai produk pelancongan baharu Muzium Masjid Sultan Abdullah yang diberi gelaran sebagai 'Taj Mahal Pahang'!

Bangunan putih ini persis seperti Taj Mahal di Agra, India kerana berkonsepkan muzium dalam taman dengan binaan kolam air pancut di hadapan pintu masuknya.

Tiada sebarang bayaran dikenakan untuk masuk ke sini, namun diingatkan ia ditutup setiap Isnin.

Jadi rugi kalau korang datang ke Pekan namun tidak berkunjung ke sini kerana di dalamnya menyimpan pelbagai artifak mengenai tamadun Islam termasuk ruang solat berjemaah.

 

PAKEJ JALAN-JALAN PEKAN YANG DITAWARKAN ANCASA ROYALE PEKAN

Untuk lebih memudahkan korang berjalan-jalan meneroka Pekan, sebenarnya bermula 15 Januari 2020 ini, satu-satunya hotel bertaraf 4 bintang di Pekan iaitu AnCasa Royale Pekan ada menawarkan beberapa pakej percutian menarik untuk para tetamunya.

Antaranya pakej menarik tersebut adalah:

1) SUNGAI PAHANG RIVER CRUISE

2) ANCASA SALTWATER ANGLERS VENTURE

3) PANTAI AIR LELEH BEACH PICNIC GATEAWAY

4) TASIK CHINI CRUISE TOUR

5) GOLF PACKAGE

**Namun, kesemua maklumat terperinci mengenai pakej-pakej di atas akan min update semula selepas mendapat info terkini daripada pihak AnCasa Royale Pekan. 

 

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah