Jom Pi Terengganu, Musim Candat Sotong Kini Bermula!
TARIKANMarch 21, 2019 - 01:08 PM
Pulau Kapas, Marang, Terengganu bakal menjadi tumpuan pengunjung tempatan dan pelancong luar negara yang ingin merasai sendiri pengalaman mencandat sotong.
Walaupun pesta candat sotong bermula bulan April hingga September, namun aktiviti mencandat dijangka meriah seawal hujung bulan Mac lagi.
Bagi si kaki candat, sememangnya sedia maklum tarikh yang paling sesuai untuk mencari sotong adalah berbeza dengan tarikh memancing ikan.
Aktiviti mencandat sotong adalah paling sesuai antara 13 hingga 20 haribulan mengikut Kalendar Hijrah, iaitu ketika bulan semakin membesar hingga bulan kembali mengecil.
Namun tarikh yang tetap menjadi pilihan untuk si gila mencandat adalah pada 15 haribulan Hijrah iaitu di kala bulan penuh kerana ia menjanjikan hasil tangkapan sotong yang sangat lumayan.
Pada waktu lain sotong juga boleh dicandat tetapi amat kurang berbanding dengan tarikh ini.
Malah, ada juga pakar candat menasihatkan agar tidak memilih tarikh ‘air mati’ iaitu pada 6-11 atau 20-26 haribulan Hijrah.
Ini kerana pada masa berkenaan tiada arus dan sotong juga tidak gemar mahu menangkap candat.
Masa yang paling sesuai untuk keluar mencandat pula adalah antara pukul 7 hingga 8.30 malam atau 11 hingga 12.30 tengah malam.
Oleh kerana mencandat sotong sudah menjadi aktiviti tahunan kegemaran ramai sejak beberapa tahun ini, banyak pengendali bot di Marang yang menawarkan Pakej Mencandat Sotong.
Kadar sewa bot pula bermula dari RM850 hingga RM2,650 bagi setiap trip mencandat dan ia bergantung kepada saiz bot yang disewa.
Jika menyewa bot besar boleh membawa hingga 20 orang pencandat.
Kebanyakkan bot sewa kini juga dilengkapi dengan lampu limpah (spot light) tambahan memandangkan sotong lebih tertarik dengan cahaya lampu terang di lautan untuk timbul di permukaan air sekitar bot.
Paling seronok kalau korang bawa stok maggie atau nasi yang boleh dimakan panas-panas dengan sotong segar yang baru dicandat atas bot. Memang best!
Marang terletak hanya kira-kira 15 kilometer dari Kuala Terengganu dan selain Pesta Candat Sotong di perairan Pulau Kapas, korang juga boleh sertai produk pelancongan lain seperti ‘Swimathon’ serta Pesta Budaya di Pantai Kelulut.
Lagi satu dah alang-alang ada di sana, jangan lupa untuk cuba sendiri keenakkan air nira, manisan (nisang) dan tentunya ketupat sotong Marang yang memang terbaik!
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah