Port Paragliding Bukit Maras Bertukar Jadi Lokasi Buka Puasa Dengan View Cantik!

TARIKAN
April 29, 2022 - 04:04 PM


Berpuasa dan mendaki pada ketinggian 329 meter untuk berbuka puasa, bertarawih serta bersahur sambil menikmati panorama indah daerah Kuala Nerus, Terengganu pastinya menawarkan keunikan pengalaman yang tersendiri.

Bukit Maras yang sebelum ini popular dengan sukan pendakian dan lokasi paragliding -- kini menjadi tumpuan peminat aktiviti luar untuk meraikan kenangan berbuka puasa sepanjang Ramadan.

Tidak hairanlah jika program Hike & Camp Ramadan @Bukit Maras yang diadakan baru-baru ini mendapat sambutan hangat daripada orang ramai khususnya penggemar aktiviti luar dari sekitar Terengganu.

Masing-masing tidak mahu melepaskan peluang untuk berbuka puasa dan bertarawih di atas puncak bukit dengan berbumbungkan langit malam yang sememangnya mempunyai kelainan tersendiri.

Penyelaras program, Anuar Ngah berkata, program anjuran Bukit Maras Paragliding and Recreational Park itu disertai lebih 50 peserta.

Kata Anuar objektif utama program itu diadakan adalah bagi mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan penggiat 'outdoor' di Terengganu.

Selain itu, ia juga menyokong komuniti pelancorangan di Kuala Nerus khususnya di Bukit Maras.

Katanya, program pendakian dimulakan pada 5.30 petang dan semua peserta selamat sampai di puncak bukit itu kira-kira sejam kemudian.

"Selepas menyiapkan tapak dan khemah, peserta turut membantu menyediakan hidangan untuk berbuka.

"Memang terasa kelainannya dapat berbuka puasa berlatarkan dengan panorama indah di puncak bukit," katanya.

Menurut Anuar lagi, selepas Isyak, semua peserta turut menunaikan solat Terawih berjemaah.

Katanya, selepas moreh, ada yang mengambil peluang bersembang santai dengan pendaki yang lebih berpengalaman untuk berkongsi ilmu dan tip aktiviti 'outdoor.'

"Kami juga bersahur sama-sama dan sebelum turun, peserta turut bergotong- royong membersihkan kawasan sekitar.

"Alhamdulillah program berjalan lancar dan cuaca juga mengizinkan," katanya.

Sementara itu, Nur Syahida Ghazali, 39, yang menyertai program itu bersama anak perempuannya, Amni Insyirah Azmi,10, turut teruja dan mahu mengulanginya lagi jika ia diadakan lagi pada tahun hadapan.

Kata Nur Syahida, meskipun perlu mendaki ketika berpuasa namun pengalaman yang dilalui memang sukar ditukar ganti.

"Hilang penat mendaki dan rasa dahaga sebaik sahaja tiba di puncak. Apatah lagi pemandangannya sungguh indah dan cuaca juga nyaman sekali.

"Peluang berbuka puasa, bertarawih di puncak bukit berbumbungkan langit malam sememangnya menginsafkan kami.

"Betapa agungnya ciptaan Ilahi berbanding kita manusia yang kerdil ini," katanya.

Sumber: Harian Metro & Kredit Gambar: Bukit Maras Paragliding and Recreational Park

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah