Pulau Poh, Tasik Kenyir Buka Hotel 3 Bintang Pada Jun 2022

TARIKAN
December 06, 2021 - 05:59 PM


Jika tahun depan 2022, anda mempunyai perancangan untuk bercuti ke Tasik Kenyir -- anda sudah tidak perlu risau tentang isu penginapan.

Ini kerana tarikan pelancongan di Kuala Terengganu itu bakal dirancakkan lagi dengan pembinaan sebuah hotel bertaraf 3 bintang yang dilengkapi 100 buah bilik.

Menurut Pengarah Eksekutif yang juga Presiden Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc), Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata ketika ini projek hotel berkenaan sudah pun mencapai lebih 90 peratus dan dijangka dibuka kepada pelancong pada suku kedua tahun hadapan.

Selain hotel, pihaknya turut memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 juta bagi kerja pembaikan taman tema air berdekatan hotel tersebut, yang dijadualkan bermula tahun depan.

Taman tema itu sebelum ini beroperasi dan dikendalikan oleh Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), tetapi terpaksa ditutup atas beberapa faktor termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kita akan naik taraf sedikit taman tema ini.. mungkin mengambil idea daripada Taman Tema Sunway Lagoon, sebagai daya tarikan baharu ke Kenyir yang sebelum ini banyak bergantung pada rumah bot.

"Kalau boleh kita mahu taman tema ini dikendalikan di bawah pengusaha sama dengan hotel, tetapi perlu keluarkan dokumen RFB dahulu dan lihat macam mana perkembangannya," katanya.

Hotel di Pulau Poh, yang mula dibina pada 2017 itu, adalah sebahagian daripada pelan pembangunan Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir dan turut dilengkapi kemudahan lain seperti jeti kargo dan Jambatan Ikonik yang sudah dibuka kepada orang ramai.

Sumber: BERNAMA

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah