Info Ringkas Travel Ke Pulau Tioman

JALAN-JALAN
August 20, 2019 - 06:01 PM


Siapa yang tak kenal dengan Pulau Tioman iaitu pulau peranginan yang popular di kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa.

Mana taknya, pada tahun 1970-an pulau ini telah dinobatkan sebagai “Pulau Tercantik Dunia” oleh Time Magazine dan pada 1959, ia menjadi lokasi penggambaran filem Hollywood bertajuk ‘South Pacific’, sebab tu nama Tioman tak asing lagi kepada pelancong asing.

Tetapi mungkin ramai yang selalu terkeliru dan salah anggap mengatakan bahawa Tioman terletak di Johor, sedangkan hakikatnya ia berada di dalam Negeri Pahang.

Mungkin disebabkan pintu masuk ke pulau tersebut yang lebih terkenal di kalangan pelancong adalah dari Jeti Mersing, Johor membuatkan ramai beranggapan pulau itu terletak di negeri tersebut --- sedangkan sebenarnya ada satu lagi pintu masuk untuk ke pulau itu iaitu dari Jeti Tanjung Gemok, Kuala Rompin, Pahang yang kurang dikenali.

Jika masuk dari Jeti Mersing, jarak untuk sampai ke Tioman adalah 70 kilometer atau dalam tempoh 2 jam 30 minit, manakala kalau naik dari Jeti Tanjung Gemok hanya kira-kira 66 kilometer.

Kedudukan pulau ini ialah di Laut China Selatan serta memiliki keluasan 39 km panjang dan 12 km lebar. Kalau dilihat dari atas udara pulau ini berbentuk seakan seketul paha ayam. Hahaha…

Menariknya pulau ini dibuka sepanjang tahun, tidak seperti beberapa pulau di sekitar Pantai Timur yang terpaksa ditutup setiap kali menjelang hujung tahun akibat monsun.

‘Peak season’ atau tempoh paling ramai pelancong ke Pulau Tioman adalah antara bulan Mei dan Ogos kerana cuaca di sana tidak dilanda hujan.

Angin monsun mula bertiup dari bulan Oktober, membawa hujan lebat dan gelombang yang kuat hingga Januari.

Pada masa ini, feri pun hanya beroperasi sekali sehari manakala hotel atau resort yang besar-besar sahaja yang dibuka dan biasanya harga yang ditawarkan juga adalah lebih murah daripada kadar standard mereka.

Jumlah pelancong yang mengunjungi pulau ini mencecah 30,000 hingga 50,000 orang sebulan.

Meskipun pembangunan komersil di Pulau Tioman masih rendah berbanding pulau-pulau pelancongan lain seperti Langkawi, namun pulau itu juga merupakan “Pulau Bebas Cukai” dan kebanyakkan kedai-kedai utama yang menjual pelbagai barangan bebas cukai terletak di Kampung Tekek iaitu kampung terbesar di situ.

Terdapat 2 syarikat feri yang beroperasi di kedua-dua jeti tersebut iaitu Cataferry dan Bluewater Ferry.

Feri-feri berkenaan akan menurunkan penumpang di 5 hentian iaitu:

  1. Kampung Genting
  2. Kampung Paya
  3. Kampung Tekek
  4. Kampung Air Batang (ABC)
  5. Kampung Salang

Selain meneroka pantai yang cantik dan air laut yang jernih di sekeliling 5 kampung di atas, gugusan Pulau Tioman sebenarnya memiliki 8 lagi pulau yang sangat menakjubkan dengan pasir putih dan hidupan laut yang sangat luar biasa, iaitu:-

  1. Pulau Sepoi (Aktiviti: Scuba Diving)
  2. Pulau Chebeh (Aktiviti: Scuba Diving)
  3. Pulau Soyak (Aktiviti: Scuba Diving & Snorkeling)
  4. Pulau Renggis (Aktiviti: Scuba Diving & Snorkeling)
  5. Pulau Tulai (Aktiviti: Scuba Diving & Snorkeling)
  6. Pulau Jahat (Aktiviti: Scuba Diving & Snorkeling)
  7. Pulau Tomok (Aktiviti: Scuba Diving & Snorkeling)
  8. Pulau Bahara (Aktiviti: Scuba Diving)

Oleh itu, tak hairanlah sekiranya Tioman mempunyai banyak pusat membuat lesen diving dan menjadi 'syurga diving' untuk pelancong yang sukakan aktiviti menyelam skuba.

Satu lagi info menarik mengenai Tioman ialah pulau ini merupakan satu-satunya pulau yang menerima pengiktirafan sebagai Kawasan Perlindungan Marin (MPA) Kategori Tahap 4: Flagship Regional Sites, iaitu tahap tertinggi dalam penilaian di peringkat Asia Pasifik sebagai kawasan taman laut tercantik dan terurus.

Sebab itu bagi mengekalkan khazanah marin dan hidupan lautnya, pelancong akan dikenakan Fi Pemuliharaan Taman Laut sebanyak RM5 (warganegara) dan RM30 (bukan warganegara) sebelum memasuki Pulau Tioman.

Baca juga: Pulau Tioman Bakal Bertukar Wajah 10 Tahun Lagi

 

 

 

 

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah