Chalet Pos Gob, Gua Musang - Port Bercuti Gaya Orang Asli Yang Sukar Dilupakan

JALAN-JALAN
October 19, 2020 - 06:43 PM


Bila sebut bab percutian mesti ramai yang mengidamkan sebuah pengalaman menginap di hotel atau resort mewah, tak pun berkhemah ala-ala retis glamor dengan cari port glamping semata-mata.

Tapi apa salahnya kalau sesekali korang cuba pula bercuti di sebuah perkampungan Orang Asli yang secara tak langsung dapat membuka mata dan perspektif berbeza mengenai kehidupan mereka yang sangat unik dan mungkin semakin canggih mengikut arus pemodenan semasa.

Kalau korang berminat dan nak cuba bercuti ke perkampungan Orang Asli mungkin korang boleh cuba menginap di CHALET ORANG ASLI POS GOB, Gua Musang, Kelantan!

Ini kerana kedamaian alam semulajadi serta persekitaran yang ada di chalet ini benar-benar mampu memberikan korang ketenangan jiwa dan memukau mata sesiapa sahaja yang melihatnya.

Tarikan di Chalet Orang Asli Pos Gob

Selain dapat melihat pemandangan hutan semulajadi dan Banjaran Titiwangsa yang sangat indah serta mempesonakan, korang juga boleh melakukan aktiviti mandi-manda di sungai yang terletak hanya bersebelahan kawasan chalet.

Kejernihan dan kesejukan air sungai di sini pasti membuatkan korang teruja dan menjadi kenangan yang sukar untuk dilupakan.

Jangan tak tahu tempat ni juga ada kawasan air terjun yang boleh korang terokai dan terjun ke dalam airnya yang sejuk dan menyegarkan.

Di samping itu, di sini korang juga berpeluang melihat dan merasai sendiri pengalaman melakukan aktiviti rutin harian masyarakat Orang Asli suku Temiar di Pos Gob.

Menariknya, chalet ini juga ada menyediakan sebuah pakej istimewa iaitu 'Persembahan Sewang' yang boleh korang tempah untuk melihat sendiri tarian ikonik masyarakat Orang Asli secara live!

Kadar Harga 

Untuk pengetahuan korang, chalet di sini menyediakan kira-kira 20 buah unit chalet untuk disewakan kepada pengunjung.

Bagaimanapun, jika menginap di sini korang diingatkan untuk membawa sendiri segala kelengkapan, peralatan dan barangan makanan kerana kemudahan tersebut tidak disediakan.

Berikut merupakan kadar harga sewa untuk korang jika berkunjung ke Chalet Orang Asli Pos Gob ini:

  • Sewa Chalet – RM35/ Malam
  • Pakej Air Terjun – RM30 
  • Pakej Persembahan Sewang – RM300 (40 Minit)
  • Kemudahan Wifi – RM5
  • Pengecas Telefon – RM1

Cara Ke Chalet Orang Asli Pos Gob

Setakat ini, laluan masuk ke chalet berkenaan hanya boleh diakses dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda (4WD) sahaja.

Permukaan jalan yang tidak sempurna menyebabkan laluan ini tidak sesuai untuk kenderaan biasa. Keadaan cuaca juga akan mempengaruhi struktur jalan.

Perjalanan offroad dianggarkan sejauh 80 kilometer untuk sampai ke destinasi. Jarak dari Kuala Lumpur ke Gua Musang pula kira-kira 300 kilometer dan mengambil masa sekitar 4-5 jam bergantung kepada keadaan trafik.

Untuk mengetahui situasi keadaan jalan masuk terkini atau membuat tempahan penginapan di chalet ini, korang boleh menghubungi nombor telefon yang tertera di bawah.

CHALET ORANG ASLI POS GOB

Alamat : Pos Gob, 18300 Gua Musang, Kelantan

Hubungi : 013-3243770 (Senik), 013-3909775 (Man), 013-6400423 (Malina), 014-2186280 (Abus)​

Sumber: lokasipercutian.com

Artikel Berkaitan: Chalet Cantik Dengan View Sungai Ni, Rupanya Idea Kreatif Orang Asli!

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah