Pantai Batu Hitam, Kuantan Ada Tarikan Baru Replika 'Bulan Gergasi'!
TARIKANNovember 06, 2020 - 09:36 PM
Ketika dunia dan negara dilanda dengan penularan pandemik COVID-19 hingga memaksa rakyat menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) -- ramai individu yang terkesan pendapatan muncul dengan pelbagai idea kreatif dan menarik untuk kelangsungan hidup masing-masing.
Terbaharu jika anda mengunjungi ‘Malam Carbooth’ di Pantai Batu Hitam, Kuantan, Pahang -- anda berpeluang untuk melihat sebuah replika bulan gergasi menyinari kawasan itu!
"Ibarat bulan jatuh ke riba"...itu antara yang meniti di bibir atau fikiran para pengunjung sejurus melihat bulan gergasi berdiameter 6 meter tersebut yang kelihatan seakan-akan 'hidup' dengan teknik biasan cahaya lampu yang digunakan.
Malah, disebabkan keindahan bulan berkenaan menjadikan orang ramai yang beriadah atau membeli-belah di Malam Carbooth di situ teruja serta tidak melepaskan peluang untuk mengabadikan panorama cantik berlatarbelakang bulan penuh, di media sosial masing-masing.
Tarikan terbaharu itu juga semakin menjadi viral apabila ramai 'kaki-kaki Instagram' dan si gila gambar memuatnaik gambar bersama bulan itu di Facebook.
Menurut laporan Bernama, replika bulan berkenaan diusahakan oleh sekumpulan anak muda berusia 25 tahun lepasan Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Replika bulan itu sebenarnya ditempah khas dari China yang menelan belanja ribuan ringgit, yang mana ia perlu dipam dengan angin bagi membentuk bulatan besar.
Pemilihan cahaya bulan pula dibuat memandangkan ianya sangat signifikan dengan pemandangan pantai dan berikutan itu mereka berusaha mencari bulan 'tiruan' tersebut di merata-rata tempat, sebelum memilikinya sekitar Ogos lepas melalui pesanan secara online.
Cetusan idea kreatif itu juga dilakukan sebagai salah satu inisiatif mereka untuk menarik orang ramai ke pantai berkenaan, yang menempatkan lebih 50 peniaga but kereta di Pantai Batu Hitam, yang menjual pelbagai barangan dan makanan bagi menjana pendapatan pada musim Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Bagaimanapun, banyak cabaran terpaksa dihadapi kumpulan anak muda itu bagi memasang replika yang diperbuat daripada material PVC berkenaan, antaranya faktor angin yang sedikit sebanyak menyukarkan mereka untuk menempatkan replika bulan berkenaan.
Namun, proses pemasangan dan menanggalkan replika bulan itu tidaklah sesukar mana kerana ia hanya mengambil masa kira-kira 30 minit sahaja dengan bantuan beberapa orang lain.
Bulan itu akan mula dipasang pada hari tapak ‘Malam Carbooth’ beroperasi dan akan mengempiskan replika berkenaan selepas pukul 10 malam, sebaik tempat ini ditutup.
Jadi, kalau anda belum melihat dan bergambar dengan bulan di atas pasir pantai itu jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke Pantai Batu Hitam, Kuantan!
MALAM CARBOOTH PANTAI BATU HITAM
ALAMAT: Jalan Beserah 26100 Beserah, Kuantan, Pahang.
WAKTU OPERASI: Jumaat - Ahad (5 Petang Hingga 10 Malam)
AKTIVITI:
- Jualan makanan, pakaian & produk penduduk setempat
- Bergambar dengan replika bulan terbesar di Pahang
- Fire show
- Busking
Sumber: Bernama
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah