'Tasik Pepsi Blue' - Bakal Jadi Tarikan Pelancongan Baru Di Marang, Terengganu
TARIKANOctober 19, 2020 - 03:03 PM
Kalau sebut tentang Terengganu, pasti tergambar di fikiran kita adalah pulau-pulaunya yang cantik dan indah.
Namun kini jika anda berkunjung ke negeri itu -- ada satu lagi destinasi pelancongan baharu yang wajib anda lawati iaitu LUBUK MANDI atau digelar sebagai 'Tasik Pepsi Blue'!
Ketika ini Kerajaan Negeri Terengganu sedang rancak merancang untuk melaksanakan beberapa pengubahsuaian seperti pemasangan pagar di kawasan berbahaya dan menaik taraf kemudahan laluan menyusuri hutan (jungle trekking) di situ, sebelum ianya dibuka secara rasmi kepada pengunjung.
Lubuk Mandi yang mempunyai air cantik berwarna biru kehijauan kembali menjadi viral di media sosial baru-baru, sehingga mencetuskan idea kepada pihak berkuasa Terengganu untuk menjadikan kawasan itu seperti Kawah Putih di Bandung, Indonesia -- sebuah tasik semula jadi yang muncul akibat letusan gunung berapi dan menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia.
Lubuk Mandi yang terletak di Mukim Rusila kira-kira 16 kilometer dari Marang dan berdekatan juga dengan Kuala Terengganu menjadikan ia lokasi yang mudah untuk dikunjungi pelancong bagi menikmati panorama dan merakam gambar berlatarbelakangkan tasik tersebut.
Lagipun pengunjung hanya perlu ‘jungle trekking’ kira-kira lima hingga 10 minit untuk sampai ke kawasan atas tasik bagi menyaksikan keindahannya. Berdekatan Lubuk Mandi juga terdapat kawasan perumahan, jadi jalan untuk ke sini sudah cantik dan sesuai dilalui kenderaan.
Pada asalnya, Lubuk Mandi merupakan sebuah tasik buatan yang terhasil daripada aktiviti melombong secara mendulang emas yang suatu ketika dahulu sangat terkenal dalam kalangan penduduk tempatan.
Namun, aktiviti melombong emas itu telah diarah dihentikan beberapa tahun lalu ekoran berlaku beberapa tragedi yang meragut nyawa pelombong termasuk tanah runtuh dan akhirnya dijadikan kawasan larangan.
Tetapi disebabkan nilai pelancongan Lubuk Mandi yang berpotensi dijadikan tarikan ke Terengganu, lokasi itu bakal bertukar wajah dan akan dibenarkan dibuka untuk kunjungan orang ramai tidak lama lagi.
Sumber: Bernama
Artikel Berkaitan: Tasik Biru, Bukit Ibam - Satu Lagi 'Hidden Gem' Rompin Selain Ikan Layaran & Udang Galah
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah