Percutian Keluarga 3 Hari 2 Malam, Mencari Keunikan Dan Kelainan Di Kuala Selangor

JALAN-JALAN
May 11, 2021 - 08:00 AM


Selain Sky Mirror, Kg. Kuantan Fireflies Park dan Kuala Selangor Nature Park, Kuala Selangor sebenarnya terdapat banyak lagi tempat yang menarik terutama tempat-tempat yang sesuai untuk bawa keluarga bercuti.

Bila sebut Kuala Selangor, mesti korang dah terbayang Sky Mirror dan juga panorama kelip-kelip waktu malam, kan? Dua tarikan utama di Kuala Selangor ini dah tak perlu diperkenalkan lagi kerana ia sememangnya telah menjadi trademark bagi Kuala Selangor.

Tetapi, kalau korang menginginkan sebuah percutian yang agak berlainan di Kuala Selangor, korang kena pertimbangkan lokasi-lokasi yang akan dikongsikan ini kerana kesemuanya sangat sesuai untuk dijadikan sebagai percutian keluarga.

Bukan mudah merancang percutian bersama anak-anak kerana golongan ibu bapa pastinya akan pening kepala untuk memastikan destinasi tersebut mempunyai aktiviti yang boleh dilakukan oleh mereka, selain faktor keselamatan yang perlu sentiasa diutamakan.

Jadi untuk cuti-cuti kali ini, kami nak kongsikan beberapa lokasi dan tempat makan menarik untuk bawa keluarga bercuti di Kuala Selangor.

Kuala Selangor Cabin Camp (KSCC)

Lokasi pertama kami di Kuala Selangor adalah di Kuala Selangor Cabin Camp (KSCC). Tempat ini dahulunya merupakan campsite untuk aktiviti berkumpulan tetapi disebabkan kesan dari Covid-19, ia dibangunkan semula dengan konsep yang unik dan lebih menarik untuk menerima pengunjung sama ada secara berkumpulan atau persendirian.

Terdapat banyak aktiviti yang boleh dibuat di sini antaranya bermain yoyocart, laluan berhalangan, dam ular gergasi, teng teng gergasi, trampoline, memanah, berbasikal, naik keretapi drum, menangguk ikan dan banyak lagi. Aktiviti ini semua bukan hanya melibatkan kanak-kanak, malah orang dewasa juga boleh melakukannya.

Konsep kehidupan desa dengan penuh warna-warni ditonjolkan bagi memberi keceriaan kepada pengunjung yang hadir. Korang pasti tertarik dengan konsep Kampung Pelangi di dalam KSCC kerana setiap binaan di sini dicat dengan pelbagai warna yang akan membuatkan korang sekeluarga tak bosan untuk bergambar di setiap sudut yang ada.

Tak cukup dengan itu, KSCC juga terdapat bermacam jenis haiwan untuk didekati antaranya burung, kucing, arnab, rusa, ayam, itik, kura-kura, kambing, kuda, ostrich, iguana dan banyak lagi. Korang boleh meluangkan masa memberi makan kepada haiwan-haiwan yang terdapat di sini.

Seharian memang tak cukup untuk kami sekeluarga melakukan semua aktiviti yang disediakan, maka kami memilih untuk menginap di KSCC bagi merasai sendiri pengalaman bermalam seakan di desa.

Terdapat pelbagai pilihan penginapan yang unik disediakan di sini seperti Cabin Stay, Arabian Stay, Type A Stay, Villa Stay, Tube Stay, Bus Stay dan paling menjadi tumpuan adalah Hobbit Stay.

Kami memilih untuk menginap di Hobbit Stay kerana bilik penginapan ini adalah yang paling unik dan pertama seumpamanya di Malaysia dengan saiz kecil sehingga korang tidak boleh berdiri tegak di dalamnya.

Jika bermalam di sini, korang boleh menikmati suasana keheningan malam dan kesejukan pagi sambil ditemani haiwan-haiwan yang ada. Sejujurnya ia bukanlah penginapan yang sangat selesa seperti menginap di hotel bertaraf bintang, tetapi selepas merasai pengalaman kehidupan seakan di desa, ianya sesuatu yang berbaloi dan menarik untuk dialami bersama keluarga.

Kuala Selangor Cabin Camp (KSCC)

Alamat : Lot. 4021, Jalan Rizab Zazuli, Kampung Bukit Hijau, 45800 Jeram, Selangor.

Laman Web : www.ksccjeram.com

Facebook : www.facebook.com/kscc.jeram

Telefon : 011-5110 2483

Bocah Ijok Café

Tak perlu keluar jauh dari tempat penginapan untuk makan malam kerana Bocah Ijok Café hanya terletak beberapa minit dari KSCC.

Tempat makan ini berkonsepkan medan selera terbuka yang santai dan dikelilingi ladang kelapa sawit. Suasananya cukup selesa ditambah pula dengan persekitaran yang menyejukkan.

Terdapat pelbagai pilihan menu makanan seperti tauhu bakar, roti john, nasi ayam geprek, Vietnam noodle soup, yong tau foo, sizzling, western, Italian dan masakan tempatan. Semestinya yang menjadi pilihan utama di sini adalah Seambeng Seafood.

Kami sendiri telah mencuba beberapa menu seperti Set Seambeng Seafood, Set Pekasam, Chicken Meatballs, Sizzling Yee Mee Udang, Spaghetti Seafood Aglio Olio dan Messy Fries -- ternyata semua menu yang dipesan menepati selera tekak kami sekeluarga.

Tidak hairanlah jika Bocah Ijok Café juga tersenarai sebagai salah satu port persinggahan dalam Laluan Tempatan Malaysia yang mana ia termasuk dalam salah satu kafe atau restoran yang wajib disinggahi.

Untuk pengetahuan korang, Laluan Tempatan Malaysia adalah sebuah pertubuhan berdaftar yang menyokong visi dan misi serta dasar pelancongan Malaysia yang terdiri daripada pengusaha kedai makanan, pusat aktiviti dan produk pelancongan tempatan.

Jadi, pastikan korang singgah di Bocah Ijok Café sekiranya datang ke Kuala Selangor tau!

Bocah Ijok Café

Alamat : 346C, Lorong Dato’ Sukim Batu 7, Ijok, Selangor.

Facebook : www.facebook.com/PitstopBocahIjokCafe

Telefon : 019-912 8003

Waktu Operasi : 5.00 pm – 12.00 am

Tutup : Rabu

Hari kedua kami di Kuala Selangor masih dimulakan dengan melakukan aktiviti di KSCC. Selepas check-out, kami singgah makan tengah hari di Warung Estet Cendol Sawit yang juga terletak beberapa minit sahaja dari KSCC.

Warung Estet Cendol Sawit

Apa yang istimewanya di sini semestinya cendol yang menggunakan santan dari kelapa sawit. Rasa lemak dan kelazatannya memang berbeza dari cendol biasa.

Kalau korang ‘hantu’ durian, wajib cuba cendol sawit durian. Isi durian D24 yang digunakan adalah tebal dan bila dimakan bersama cendol memberikan rasa yang cukup padu. Bekalan buah durian di sini sentiasa ada walaupun bukan musim durian. Best, kan!

Tetapi cendol durian ni lebih sesuai jika korang makan sebagai hidangan penutup kerana di sini terdapat pelbagai menu lain yang boleh dicuba. Antaranya mee jawa, laksa, kuew teow celup, roti john dan jagung cup cheese. Masih terbayang-bayang keenakan setiap menu yang kami pesan terutamanya mee jawa dan roti john. Memang sedap sungguh!

Sebagai pencuci mulut, kami pesan cendol sawit durian dan milo kepal ais krim. Padu! Itu yang mampu kami jelaskan. Walaupun kekenyangan, tekak masih meminta-minta untuk dipuaskan dengan pencuci mulut yang dipesan. Tak cukup dengan itu, jagung cup cheese menjadi bekalan kami dalam kereta menuju ke lokasi penginapan seterusnya.

Warung Estet Cendol Sawit

Alamat : Jalan Mawar, Kampung Bukit Kuching Hilir, 45800 Jeram, Selangor.

Facebook : www.facebook.com/cikloqo

Telefon : 017-614 9880

Waktu Operasi : 11.00 am – 6.00 pm

Tutup : Isnin

Tips percutian : Pilih tempat makan yang popular di kalangan penduduk setempat yang terkenal kerana keenakan masakannya.

The Kabin, Pantai Remis

Kami memilih untuk menginap di The Kabin untuk malam seterusnya kerana lokasinya yang bersebelahan dengan Pantai Remis dan konsep penginapan dalam kontena memberikan pengalaman penginapan yang selesa dan unik.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan di sini adalah foosball, berbasikal, BBQ, karaoke, taman permainan, bersantai di tree house dan aktiviti utama semestinya bermandi-manda di kolam renang.

Jika korang nak bersiar-siar ke lokasi tarikan utama di Pantai Remis, ianya tidak jauh dari The Kabin.

Di pantai tersebut, korang boleh duduk bersantai sambil menikmati keindahan laut yang terbentang luas atau bermain layang-layang bersama anak-anak. Korang boleh membeli layang-layang daripada deretan peniaga di situ dengan harga serendah RM5, bergantung kepada jenis dan saiz.

Puas juga kami cuba menaikkan layang-layang kerana untuk menerbangkannya tidak semudah disangka. Anak-anak kelihatan cukup seronok apabila dapat memegang tali layang-layang sambil mengawal pergerakannya supaya tidak jatuh menyembah bumi. Biasanya mana nak dapat peluang bermain layang-layang sebegini bila kita balik ke bandar. Hehehe…

The Kabin, Pantai Remis

Alamat : Jalan Haji Zainal, Jeram, 45800 Jeram, Selangor.

Facebook : www.facebook.com/TheKabinMalaysia

Telefon : 017-924 7800

Laman Web : www.thekabin.com.my

Gerai Makan 3 Beradik

Selepas puas bermain layang-layang, kami mencari port makan yang menarik sekitar pesisir Pantai Remis bagi mengisi perut. Kami tidak memilih menu masakan sebagai faktor utama sebaliknya lokasi kedai makan yang tenang dan selesa menjadi pilihan kami. Ternyata Gerai Makan 3 Beradik menyediakan suasana santai di tepian pantai yang sungguh mempesonakan.

Sambil menikmati hidangan yang dipesan, kami disajikan dengan panorama matahari terbenam yang sungguh indah. Anak-anak teruja melihat ombak memukul batu di tepi meja makan yang sesekali terpercik mengenai kami.

Jika korang ke Pantai Remis, boleh singgah Gerai Makan 3 Beradik sebagai pilihan untuk bersantai. Tetapi kalau korang mencari menu makanan laut yang sedap, ini bukanlah tempatnya ya.

Gerai Makan 3 Beradik

Alamat : Jalan Pantai Remis, Kampung Dungun, 45800 Jeram, Selangor.

Warung Dimyati Roti Canai Pelangi

Hari terakhir di Kuala Selangor, kami bersarapan di Warung Dimyati Roti Canai Pelangi. Warung ini cukup terkenal kerana menyediakan roti canai berperisa dan beraneka warna. Kanak-kanak pasti sukakannya.

Setiap warna roti canai mempunyai rasanya yang tersendiri seperti perisa epal, strawberry, keladi, jagung, durian dan perisa asli.

Disebabkan teruja dengan keunikan roti canai di sini, kami mencuba setiap satu perisa yang ada. Roti canainya lembut dan sedap. Perisa roti canai juga tidak terlalu kuat, just nice. Boleh dimakan dengan pilihan kuah seperti kari kambing, kari kaki ayam, kari biasa dan kuah dal.

Selain roti canai, ada juga menu sarapan lain yang ada seperti nasi lemak, kuih muih dan banyak lagi.

Warung Dimyati Roti Canai Pelangi

Alamat : Lot 2430, Batu 3, Kampung Sungai Yu 1, Kampung Sungai Yu, 45000 Kuala Selangor, Selangor.

Facebook : www.facebook.com/roticanaipelangi

Telefon : 013-586 8924

Waktu Operasi : 7.00 am – 12.00 pm

Tutup : Isnin & Jumaat

Hussin Fauzi Farm

Lokasi kami seterusnya di Kuala Selangor adalah ke petting zoo Hussin Fauzi Farm. Kebanyakan haiwan dan ternakan yang ada di sini jinak dan dilepaskan bebas. Anda bebas membelai, memberi makan dan bergambar bersama haiwan yang ada.

Antara haiwan yang dibela di sini adalah ostrich, kuda, lembu, kambing, rusa, burung merak, ular, iguana, arnab, ayam dan banyak lagi.

Manakala pelbagai aktiviti menarik boleh korang cuba bersama anak-anak iaitu menunggang kuda, memanah, menangguk ikan, menunggang kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV), tram dan banyak lagi.

Terdapat juga gerai-gerai jualan dan gazebo untuk pengunjung bersantai. Anda dan anak-anak pasti seronok meluangkan masa di sini kerana persekitarannya juga bersih dan terjaga.

Bayaran tiket masuk ke sini adalah RM7 bagi dewasa dan kanak-kanak. Sangat berpatutan dan berbaloi untuk dilawati.

Hussin Fauzi Farm

Alamat : Jalan Batu 45, Kampung Teluk Penyamun, 45600 Kuala Selangor, Selangor.

Facebook : www.facebook.com/Hussin-Fauzi-Farm-Taman-Haiwan-107704657742215

Telefon : 017-264 1038

Waktu Operasi : 10.00 am – 6.00 pm

Tutup : Selasa

Noza Café

Selepas dah puas bermain dengan haiwan-haiwan jinak di Husin Fauzi Farm, kami seterusnya mencari lokasi makan tengah hari di Noza Café.

Kafe ini mengetengahkan konsep minimalis sebagai rekaan hiasan dalamannya dan mengutamakan keselesaan tetamu untuk menjamu selera. Pelbagai menu ditawarkan di sini dari masakan tempatan, western hingga masakan Itali.

Antaranya tomyam, paprik ayam, masak lemak cili api, pelbagai pilihan nasi goreng, sizzling, spaghetti, chicken chop, burger, roti bakar dan banyak lagi. Sesuai untuk korang yang mencari makanan berat atau ringan.

Lebih menarik, saiz makanan yang dihidangkan di sini juga sangat besar, sedap dan memang mengenyangkan.

Noza Café

Alamat : No.17-G, Jalan Taman Temenggung Kampong, Kampung Teluk Piai, 45000 Kuala Selangor, Selangor.

Facebook : www.facebook.com/noza.cafe

Telefon : 011-5552 2992

Waktu Operasi : 11.00 am – 10.00 pm

Tutup : Ahad

Pasar Basah Pasir Penambang

Sebelum pulang dan menamatkan percutian 3 hari 2 malam di Kuala Selangor, kami singgah di Pasar Basah Pasir Penambang. Lokasi ini sememangnya terkenal sebagai port untuk membeli hasil laut segar yang boleh dibawa pulang sebagai buah tangan.

Tapi sebelum mula membeli-belah, pastikan korang dapatkan dulu kotak polisterin putih yang ada dijual di situ dan juga ais untuk mengisi hasil belanja makanan laut agar ianya kekal segar sehingga tiba di rumah.

Pasar basah ini selalu menjadi pilihan orang ramai bagi membeli hasil laut segar kerana terdapat banyak pilihan dan paling penting harganya juga lebih murah.

Pasar Basah Pasir Penambang

Alamat : Pasir Penambang, 45000 Kuala Selangor, Selangor.

Waktu Operasi : 8.00 pagi – 7.00 petang

Inilah percutian kami sekeluarga ke Kuala Selangor selama 3 hari 2 malam yang penuh dengan aktiviti menyeronokkan bersama anak-anak. Buat masa ini, mungkin korang boleh kongsikan dahulu artikel ini bersama ahli keluarga atau rakan-rakan untuk merancang percutian seterusnya apabila keadaan pandemik kembali reda dan kita dibenarkan merentas negeri semula.

Namun, perlu sentiasa ingat walaupun tengah bercuti pastikan kita sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan biasakan diri dengan norma baharu seperti saranan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri iaitu “Melancong Dengan Selamat”.

 

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah