Ruang Udara Kota Kinabalu Jadi Destinasi Ke-4 ‘Flight to Nowhere’ Pelancong Korea

JALAN-JALAN
August 02, 2021 - 03:58 PM


Korang pernah dengar tentang  ‘Flight to Nowhere’?

Di kala dunia berada dalam era pandemik Covid-19 ini, konsep melancong dengan menaiki kapal terbang tanpa sebarang destinasi atau juga dikenali sebagai "penerbangan pemandangan atau penerbangan bersiar-siar" menjadi satu-satunya pilihan percutian yang ada ketika ini.

Malaysia yang sememangnya antara negara kegemaran pelancong dari luar negara turut menjadi salah satu lokasi pilihan bagi percutian berkonsepkan ‘Flight to Nowhere’ ini.

Baru-baru ini, seramai 96 penumpang menaiki penerbangan ‘Flight to Nowhere’ dari Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan untuk menikmati penerbangan bersiar-siar bertemakan Kota Kinabalu Sabah.

Mengapa Sabah? Ini kerana ia merupakan salah satu destinasi percutian utama di Asia Tenggara yang popular di kalangan warga Korea Selatan sebelum pandemik.

Hampir 400,000 rakyat Korea Selatan direkodkan mengunjungi Sabah pada 2019 dengan 67 penerbangan langsung berlepas dari Incheon, Busan dan Muan ke Kota Kinabalu

Menerusi konsep ‘Flight to Nowhere’ ini pelancong dapat mengalami semua proses lapangan terbang dan syarikat penerbangan, tetapi penumpang tidak tiba di destinasi baharu, sebaliknya mereka akan tiba di lapangan terbang sama dari mana mereka berlepas.

Untuk menyokong industri penerbangan tempatan dan sektor bebas cukai di Korea yang terjejas oleh pandemik global, Kerajaan Korea Selatan telah memberi kebenaran kepada syarikat penerbangan tempatannya untuk menjalankan program penerbangan tanpa destinasi.

Jin Air telah mengambil peluang ini untuk mengadakan penerbangan tersebut dan Sabah dipilih sebagai destinasi antarabangsa ke-4 setelah Hong Kong, Osaka dan Okinawa.

Dengan sokongan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan bantuan daripada Tourism Malaysia -- Jin Air, salah satu syarikat penerbangan tambang murah terbesar Korea Selatan telah melancarkan ‘Flight To Nowhere’ ke-4 pada 25 Julai lalu.

Berlepas pada pukul 12.40 tengah hari dari Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, laluan penerbangan membawa penumpang terbang rendah di atas Daegu, Busan dan sebahagian wilayah udara Jepun.

Ia kemudian mendarat di tempat sama ia berlepas pada pukul 2.30 petang.

Penerbangan bersiar-siar bertema Kota Kinabalu telah menarik perhatian warga Korea dengan pelbagai faedah dan aktiviti penerbangan khas.

Penumpang yang menaiki penerbangan ditawarkan beg cenderahati yang disediakan oleh Jin Air dan STB untuk memperingati peristiwa tersebut.

Kedai bebas cukai utama di Korea Selatan iaitu Shilla, Lotte dan Shinsegae telah menawarkan perkhidmatan bebas cukai di dalam pesawat.

Kru kabin juga menyediakan hiburan tambahan seperti kuiz dan cabutan bertuah untuk memastikan penerbangan tetap menarik.

Tiket pergi-balik (Incheon ke Kota Kinabalu) yang ditaja oleh Jin Air, hotel dan baucar pelayaran matahari terbenam yang ditaja oleh STB ditawarkan sebagai hadiah kepada penumpang yang menaiki kapal terbang.

“Orang ramai jelas merindui pengalaman terbang. Pengalaman ini pasti akan memberi peluang kepada mereka untuk mengingati Kota Kinabalu, Malaysia sebagai destinasi pelancongan terbaik,” kata Shaharuddin Yahya, Pengarah TM Korea.

Memandangkan kejayaannya dalam projek penerbangan tanpa destinasi pertamanya, Pejabat Pelancongan Sabah bersama dengan pejabat Tourism Malaysia Seoul merancang untuk meneruskan aktiviti ini dengan syarikat penerbangan Korea lain termasuk Air Busan dan Jeju Air dengan peningkatan jumlah penerbangan pada Ogos ini.

“Penerbangan tanpa destinasi adalah pengalaman paling hampir dengan pelancongan ke luar negara dan ia menampung pelancong dahagakan pengembaraan,” kata Noredah Othman, Pengurus Besar STB.

“Kami mengalu-alukan warga Korea untuk mengunjungi kami sekali lagi apabila sempadan antarabangsa dibuka semula,” tambahnya.

Dengan kebanyakan penerbangan antarabangsa ditangguhkan atau dikurangkan selama setahun kerana Covid-19 -- Kementerian Tanah, Pengangkutan dan Hal Ehwal Maritim Korea Selatan telah menyokong penerbangan dan pelancongan dengan membenarkan ‘penerbangan tanpa destinasi’ dan ia terbukti sangat popular di kalangan orang-orang yang merasai nostalgia waktu sebelum pandemik.

Sumber: Bernama

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah