'BANTU APP' - 1 Lagi Aplikasi Salur Bantuan Yang Tidak Terhad Kepada Makanan Sahaja
GAYA HIDUPSeptember 10, 2021 - 01:23 AM
Selepas viral aplikasi bantuan yang dinamakan "KITAJAGA.CO" sebelum ini -- terbaharu ada satu lagi aplikasi yang dibangunkan bagi memudahkan permohonan dan penyaluran bantuan seperti barangan keperluan asas yang dipanggil "BANTU APP".
Pengasas bersamanya, Mohammad Hasif Afiq Jaafar berkata aplikasi tersebut yang dibangunkan hujung bulan lepas oleh beliau dan sembilan rakan lain diharap dapat menjadi platform bagi menggalakkan budaya saling bantu-membantu dalam situasi sukar, selain memudahkan dan meluaskan capaian pertolongan.
“Idea membangunkan Bantu App tercetus ketika kempen Bendera Putih sebagai tanda solidariti membantu mereka yang terkesan akibat COVID-19 tular pada hujung Jun lepas.
"Seperti yang semua tahu, menjalani kehidupan semasa pandemik sangat mencabar, ramai yang kehilangan kerja dan pendapatan, lagi menyedihkan apabila ada yang mengambil jalan untuk membunuh diri akibat tekanan mental bagi meneruskan hidup pada masa kini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata pihaknya menyasarkan dua golongan pengguna iaitu kumpulan yang memerlukan dan juga yang mahu menyalurkan bantuan termasuklah individu dan kumpulan seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Manakala jenis bantuan pula tidak terhad kepada makanan dan barangan dapur sahaja, sebaliknya turut meliputi bantuan kemudahan penginapan, kewangan, perubatan serta sokongan kaunseling.
Jurutera perisian itu berkata aplikasi tersebut direka dengan ciri mesra pengguna termasuk pengesanan dan penetapan lokasi menggunakan sistem koordinat serta pilihan empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.
Setakat ini, aplikasi Bantu App telah menarik lebih 100 pengguna aktif sejak dilancarkan pada 27 Ogos lepas.
“Kami menyasarkan lebih ramai memuat turun aplikasi ini menerusi Google Play Store dan Apple App Store secara percuma dalam tempoh tiga bulan pertama dan diharap sekurang-kurangnya dapat mencapai 10,000 muat turun,” katanya yang mengambil tempoh dua bulan untuk membangunkan aplikasi itu.
Sumber & Kredit Foto: BERNAMA
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah