Via Ferrata Di Pulau Lang Tengah, Terengganu Jadi Tarikan Baharu Buat Peminat Sukan Ekstrem
TARIKANOctober 01, 2021 - 02:14 PM
Pulau yang diberi jolokan 'Maldives Malaysia', Pulau Lang Tengah yang terletak di Kuala Nerus, Terengganu kini muncul sebagai pulau peranginan pertama di Malaysia yang menawarkan aktiviti pendakian melalui laluan besi atau via ferrata.
Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Hafiz Hazin berkata, keunikan terbaharu yang diperkenalkan Resort Summer Bay itu diyakini mampu memberi pengalaman berbeza kepada pengunjung selain selaman skuba dan snorkel yang menjadi kelaziman semasa percutian.
Lebih istimewa, katanya, orang ramai turut berpeluang menikmati panorama indah Laut China Selatan sepanjang mendaki via ferrata setinggi 80 meter dari aras laut itu.
“Kebiasaannya aktiviti mendaki via ferrata berlatar belakang kawasan pergunungan atau berbukit tetapi orang ramai dapat melihat panorama berlainan di sini.
“Ini adalah satu lagi pilihan yang ditawarkan untuk menarik minat pelancong terutama golongan pendaki ke Terengganu sekali gus merasai cabaran mendaki di Pulau Lang Tengah,” katanya.
Kalangan tetamu resort yang berminat untuk melakukan aktiviti berkenaan boleh memilih sama ada mahu mendaki Bukit Batu Bulan atau menaiki bot untuk ke lokasi laluan besi itu.
“Soal keselamatan adalah keutamaan kami dan pendaki dipantau serta dibimbing oleh empat jurupandu terlatih bagi membolehkan mereka menyelesaikan cabaran via ferrata hingga ke puncak.
“Aktiviti ini bukan sahaja untuk golongan dewasa, malah sesuai disertai kanak-kanak seawal usia 12 tahun dengan kos kira-kira RM250 seorang,” katanya.
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah