Nak Bercuti Sana Sini Sesak? Jangan Risau, Bagan Lalang Ada 5 Aktiviti Best Untuk Korang 'Weekend Getaway'!

JALAN-JALAN
November 10, 2021 - 05:30 PM


Mentang-mentanglah sekarang kes penularan COVID-19 semakin terkawal dan rentas negeri pula dah dibenarkan, maka makin meriahlah aktiviti pelancongan domestik seantero Malaysia!

Oleh itu, tak hairanlah kalau kita dengar sana sini ceruk lokasi percutian kegemaran rakyat Malaysia seperti Cameron dan Genting Highlands, Ipoh, Melaka, Penang serta Langkawi -- semuanya sesak serta dipenuhi dengan pelancong tempatan yang teruja melempias 'nafsu berjalan' mereka selepas hampir 2 tahun hidup terkurung di dalam rumah dek angkara pandemik.

Bagi korang yang teringin juga nak bercuti tapi malas nak bersesak-sesak dengan manusia lain atau terpaksa merempuh traffic jam sepanjang-panjang jalan -- apa kata korang tukar destinasi percutian ke Bagan Lalang, Selangor je!

Selain hanya mengambil masa satu jam setengah dari ibu kota Kuala Lumpur, Bagan Lalang sebenarnya mempunyai banyak tempat-tempat best untuk korang jalan-jalan cari makan dan melakukan aktiviti menarik bersama keluarga atau rakan-rakan.

Tapi paling best yang boleh dijamin, kesemua lokasi di Bagan Lalang ini sangat bertenang daripada masalah kesesakan manusia dan juga traffic jam. Hehehe....

Ini kerana min dan 2 orang rakan pada hujung minggu baru-baru ini telah membuat satu trip terjah tanpa perancangan awal bercuti ke Bagan Lalang kerana idea untuk jalan-jalan itu timbul secara spontan. Terus start enjin kereta dan "Lesgoooo..."

Berikut 5 aktiviti best yang wajib korang cuba dan jarang diketahui jika bercuti ke Bagan Lalang :-

1) MAKAN TIRAM LIAR SEGAR

Kalau sebelum ini viral orang duk serbu ke Sungai Merbok di Yan, Kedah semata-mata nak merasai keenakan tiram yang diternak di sana -- tetapi korang jangan tak tahu sebenarnya di Bagan Lalang lagi best sebab dekat sini ada tempat menjual tiram liar segar yang dikutip dengan teknik menyelam ke dalam laut tau!

Dah namanya pun tiram liar, pastinya rasa dia memang sangat fresh, manis, langsung tak berbau hanyir dan paling best saiz tiram di sini semuanya besar-besar belaka dan jangan terkejut ia hanya dijual dengan harga antara RM10 - RM15 seketul. Murah, kan? Nak lagi jimat korang beli terus hidangan 1 set hanya RM65, boleh kongsi ramai-ramai.

Sebelum ini min dah biasa makan tiram mentah di hotel-hotel terkemuka di ibu negara, tapi serius rasa segar tiram dekat sini memang 'win' sekali slurppp je terus muka min senyum sampai telinga. Hehehe...

Walaupun tempat menjual tiram di Jetty Sirip Biru One Stop Fishing Centre ni hanya di bawah gerai kayu kecil berlatarbelakangkan muara Sungai Sepang Besar, tetapi layan beb bila makan tiram segar, perah hirisan lemon atas dia kemudian tuang sedikit 3 jenis sos istimewa Tobasco...memang tak terkata kelazatannya! Silap-silap mulut ni asyik nak minta order lagi seketul demi seketul...hahaha...

Tips makan tiram kat sini kalau korang tak nak terasa sangat rasa makanan laut tu korang kena minum dengan air kelapa buah yang ada dijual di sini. Memang kombinasi hidangan yang padu untuk dinikmati secara 'dine-in' sambil layan pemandangan bot-bot di jeti.

Gerai menjual tiram di Jeti Sirip Biru ini dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 10 malam.

Menurut maklumat pemilik gerai berkenaan, stok tiram yang ada di situ akan dikutip segar dari laut dan memang mereka mempunyai khidmat beberapa individu penyelam yang mengutip tiram di sekitar kawasan perairan di jambatan berdekatan Jimah Power Plant bersempadan antara Selangor dan Negeri Sembilan (seperti gambar di bawah).

Jadi kalau korang memang peminat makanan laut segar, tempat ni wajib korang singgah. Dah tak payah nak merempuh jam sampai ke Kedah semata-mata nak menikmati tiram segar.

2) CUBA PELBAGAI AKTIVITI AIR DI JETI SIRIP BIRU

Di Bagan Lalang terdapat sebuah jeti yang menarik untuk korang kunjungi. Walaupun namanya jeti atau lebih tepat lagi dipanggil Jetty Sirip Biru One Stop Fishing Centre, tetapi jangan tak tahu di sini lah sebenarnya lokasi utama kalau korang nak buat pelbagai aktiviti air di sepanjang muara Sungai Sepang Besar.

Antara aktiviti menarik yang boleh korang cuba adalah :

- Bermalam di Rumah Rakit

- Sewa bot memancing laut dalam / bot pandu sendiri

- Team Building

- River Cruise

Di Jeti Sirip Biru itu nanti korang boleh pilih pakej mana yang berkenan di hati dan akan dibawa menaiki bot dari situ. 

Paling best adalah merasai sendiri pengalaman bermalam di 10 buah Rumah Rakit di sini yang terdiri daripada 2 jenis rumah iaitu setingkat dan 2 tingkat. Setiap Rumah Rakit boleh memuatkan antara 7 hingga 20 orang.

Manakala aktiviti yang boleh dilakukan di situ adalah memancing dan barbeku kerana segala kelengkapan memasak dan set BBQ juga telah disediakan.

Sementara itu, jika korang memilih untuk pakej river cruise mereka menawarkan perjalanan bot menelusuri Sungai Sepang Besar selama sejam dan korang berpeluang melawat pusat penternakan sangkar ikan Siakap, Kerapu, Jenahak dan Merah.

Di sini selain dapat memberi makan kepada ikan-ikan yang ada di sangkar, korang juga boleh memancing dan sekiranya ingin membawa pulang ikan berkenaan korang akan dicaj mengikut harga timbangan.

Jetty Sirip Biru One Stop Fishing Centre
Alamat : Jalan Kijeng, Kampung Bagan Lalang, 43950 Sungai Pelek, Selangor
Waktu Operasi : 9.00 pagi – 10.00 malam
Nombor Telefon:
+60 13-211 9060
Email: siripbirurecretion@gmail.com
Facebook: Jetty Sirip Biru One Stop Fishing Centre

3) MAKAN NASI AMBENG DALAM KEBUN BULUH REBUNG 

Siapa yang menggemari menu tradisi masyarakat Jawa yang popular iaitu Nasi Ambeng? Kalau korang antara peminat masakan Jawa, korang wajib singgah menjamu selera di Nasi Ambeng D'Rebung yang terletak di Pusat Aktiviti Homestay Banghuris, Sungai Pelek.

Selain dapat menikmati pelbagai menu asli masyarakat Jawa, menariknya korang juga berpeluang merasai suasana makan di bawah rimbunan pohon buluh rebung madu. 

Pemandangan serta persekitarannya sangat santai dan ala-ala redup gittew, sekali tengok dah macam dekat Jepun pun ada. Hehehe...

Lokasi ni memang sesuai untuk korang yang sukakan tempat makan berkonsepkan suasana kebun.

Disebabkan kawasannya luas, jadi ada pelbagai jenis tempat duduk yang boleh dipilih iaitu duduk bersila, duduk di kerusi meja bawah khemah atau kerusi meja di bawah deretan pohon buluh, memang sangat sesuai kalau korang nak datang makan bersama keluarga besar atau sekumpulan kawan-kawan.

Tempat meletak kereta pun luas disediakan di sini, jadi korang tak perlu pening-pening kepala nak cari parking.

Di restoran D'Rebung ini korang boleh pilih pelbagai jenis menu unik dan asli masyarakat Jawa, antaranya:

- Nasi Ambeng

- Nasi Banca'an

- Ayam Masak Ungkep

- Mee Rebus

- Masak Lemak Sambal Tahun (Kulit Lembu)

- Pecal

- Begedil

Berikut adalah waktu operasi restoran D'Rebung yang baru :

- Dibuka setiap hari Rabu, Khamis, Jumaat, Sabtu & Ahad (Tutup Isnin & Selasa)

- Rabu - Jumaat (11.00 pagi - 5.00 petang)

- Sabtu & Ahad (8.30 pagi - 11.00 pagi = menu sarapan pagi, manakala 11.00 pagi - 4.00 petang = menu nasi ambeng)

4) LAWAT LADANG BUAH NAGA TERBESAR DI SELANGOR

Kalau korang bercuti ke Bagan Lalang mesti korang akan lalu kawasan Sepang di mana terletaknya sebuah ladang penanaman buah naga yang penuh dengan khasiat untuk kesihatan.

HL Dragon Fruit Farm adalah destinasi menarik wajib korang singgah kerana ia merupakan antara ladang buah naga yang terbesar di Selangor.

Selain berpeluang melawat ke dalam kebun buah naga, di sini juga korang boleh belajar cara menanam pokok buah naga dan merasai pengalaman memetik buah naga itu sendiri.

HL Dragon Fruit Farm bukan hanya ada aktiviti melawat ladang sahaja tetapi juga mempunyai restoran yang menyediakan makanan dan minuman berasaskan buah naga.

Antara menu popular di sini adalah Dragon Fruit Jumbo Curry Bun, Dragon Fruit Fried Rice, Dragon Fruit Garden Salad, Jus Dragon Fruit dan aiskrim buah naga.

Semua menu lazat ini boleh korang nikmati ketika menjamu selera di dalam HL Restaurant & Cafe yang juga 'restoran pertama di Malaysia yang bertemakan buah naga' dan mendapat pensijilan HALAL.

Di setiap ceruk ladang ni, banyak port bergambar cantik yang Instagramable dan kalau korang bernasib baik macam min dapatlah tangkap gambar masa kapal terbang lalu kat atas kepala. Memang onz sangat gambar korang nanti! Hehehe...

HL Dragon Fruit Eco Farm
Alamat: Lot 7608, Jalan Besar Batu Satu, 43900 Sepang, Selangor 
Waktu Operasi: 9.00 pagi-6.00 petang (Rabu cuti)
No Telefon:011-5357 7687
Email: hlrestaurantandcafe@hotmail.com

Instagram: hlrestaurantandcafe
Facebook: HL Restaurant & Cafe

5) MENIKMATI MAKANAN LAUT SEGAR DI PANTAI BAGAN LALANG, TAPI TAK SEMAHAL LANGKAWI

Kalau dah namanya bercuti ke Bagan Lalang yang dekat dengan laut dan pantai, pasti wajib korang pekena hidangan makanan laut segarnya.

Terdapat beberapa pilihan kedai makanan seafood yang menghadap ke Pantai Bagan Lalang yang boleh korang singgah, tetapi min serta kawan-kawan mengambil keputusan untuk cuba makan malam di Restoran Bayu Malam Wak Lan Ikan Bakar & Seafood.

Restoran ini ternyata bukan sahaja menghidangkan makanan yang lazat, tetapi juga suasananya sangat tenang dan mendamaikan dengan konsep restoran terbuka, jadi sambil makan memang best bila kita dapat merasai hembusan angin bayu laut yang cukup menyegarkan.

Selepas selesai 'Check In' MySejahtera dan mengambil bacaan suhu, kami terus sahaja singgah ke bahagian kaunter makanan laut untuk membuat pilihan menu makan malam.

Kami memilih ketam, sotong, pepahat dan juga ikan Siakap yang kebetulan sedang viral gara-gara kes harga kayangan di Langkawi. Hehehe...

Nasib baik kami makan Siakap kat Bagan Lalang, jadi percaya atau tidak bil kami pada malam itu hanyalah RM134 sahaja! 

Sudahlah semua masakan yang kami pesan sedap-sedap belaka, segar, bersih -- harganya pula sangat berpatutan dan bukan 'harga bangsawan' sehingga mencecah ribuan ringgit! 

Jadi rugi kalau korang tak cuba menjamu selera di Restoran Bayu Malam Wak Lan Ikan Bakar & Seafood ni.

Pada waktu siang pula korang boleh je berjalan-jalan santai, beriadah, berpiknik atau mandi-manda di Pantai Bagan Lalang ni. Anak-anak mesti yang paling seronok dapat berlari di pesisir pantai sambil bermain istana pasir.

P/S: Menarik, kan semua aktiviti percutian untuk 2 hari 1 malam yang boleh korang lakukan di Bagan Lalang. Sudahlah tak ramai orang, banyak pula 'hidden gems' atau permata tersembunyi yang boleh korang terokai sendiri jika bercuti ke sini nanti. Tak perlu nak hadap sesak manusia atau sesak di atas jalan raya. Jadi jom 'weekend getaway' ke Bagan Lalang hujung minggu nanti. Hehehe....

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah