Bulan Puasa Dah Nak Dekat, Jom Check 6 Perkara Ni Untuk Rebut Ganjaran Ramadan!
GAYA HIDUPMarch 21, 2022 - 03:05 PM
Tidak lama lagi umat Islam di seluruh negara bakal menyambut bulan Ramadan dijangka pada 3 April ini.
Seperti yang kita semua tahu, Ramadan merupakan bulan barakah yang Allah SWT berikan kepada hambaNya.
Seluruh umat Islam berpeluang mendapatkan kebaikan dan ganjaran berlipat kali ganda seperti yang dijanjikan Allah SWT.
Bulan Ramadan juga diturunkan padanya Al-Quran serta menjadi sumber bekalan kekuatan kepada setiap orang Muslim. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 185:
Maksudnya: “(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil). Kerana itu, barangsiapa antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu.”
Keistimewaan lain pada bulan Ramadan ini telah dijelaskan oleh Rasulullah bahawa pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup. Sabda Rasulullah:
Maksudnya: “Apabila datangnya Ramadan, nescaya dibuka pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.” [HR Muslim 1079]
Hikmah pada bulan Ramadan sangat besar kerana ianya bulan yang sering ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam untuk meningkatkan ibadah kepada Allah Taala.
Pada masa inilah, kita perlu membuat persiapan sebelum bulan Ramadan agar amalan yang kita lakukan akan berterusan sehingga bulan Ramadan dan bulan-bulan yang seterusnya.
Antara perkara yang boleh dilakukan untuk persiapan menuju Ramadan ialah:
1. PERBANYAKKAN DOA
Banyakkan berdoa supaya Allah mengampunkan dosa-dosa kita yang lalu, memakbulkan apa yang kita hajati dan sebagainya. Seperti yang kita maklum, doa merupakan senjata bagi orang mukmin. Jadi, berdoalah bersungguh-sungguh agar kita dipertemukan dengan bulan Ramadan tahun ini dan akan datang.
2. BERLATIH PUASA DI BULAN SYAABAN
Diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah:
Maksudnya: “Rasulullah pernah berpuasa sehingga seseorang berkata bahawa dia tidak akan berhenti berpuasa, dan dia akan meninggalkan puasa sehingga seseorang berkata bahawa dia tidak akan berpuasa. Aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa sebulan penuh kecuali bulan Ramadan, dan aku tidak melihat baginda berpuasa pada mana-mana bulan lebih banyak daripada bulan Syaaban”. [HR Bukhari 1969]
3. SIAPKAN JADUAL AMALAN KHUSUS BULAN RAMADAN
Ini adalah supaya kita tidak terleka sewaktu bulan Ramadan untuk merebut pahala-pahala sunat disertai dengan amalan-amalan sunat pada bulan Ramadan.
4. KENAL PASTI KUMPULAN / RAKAN-RAKAN YANG INGIN BERAMAL
Berkawanlah dengan orang yang baik-baik yang boleh diajak untuk melakukan amal ibadah.
Kita juga dituntut untuk sentiasa berdamping dengan orang-orang soleh atau alim agar sifat atau perkara yang ada pada diri mereka itu terkesan kepada diri kita juga. Hal ini ada dinyatakan di dalam sebuah hadis sahih:
Maksudnya: “Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk adalah seperti seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Adapun, penjual minyak wangi akan memberi kamu (minyak wangi tersebut), atau kamu membeli daripadanya, atau kamu mendapat bau yang harum daripadanya. Sedangkan tukang besi pula, akan membakar bajumu dan juga kamu mendapatkan bau yang busuk.” [HR Bukhari (5534) dan Muslim (2628)]
5. BUAT PERSIAPAN AIDILFITRI AWAL
10 malam terakhir adalah waktu yang perlu disibukkan dengan ibadah, bukannya dengan persiapan raya. Namun, persiapan untuk menyambut Aidilfitri tidak harus dilupakan kerana ia adalah hari kemenangan buat umat Islam. Adalah lebih baik membuat persediaan awal untuk Aidilfitri kerana 10 malam terakhir adalah waktu turunnya malam Lailatulqadar sepertimana firman Allah:
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati dan sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan”. [Surah Ad-Dukhan: 3]
6. WUJUDKAN SUASANA IBADAH DALAM KELUARGA SEPERTI AMALAN RASULULLAH
Sabda Rasulullah:
Maksudnya: “Baginda Nabi apabila masuknya hari 10 terakhir Ramadan, Baginda akan mengetatkan kain (bersungguh-sungguh beribadah dan tidak melakukan hubungan suami isteri), menghidupkan malam tersebut dan mengejutkan ahli keluarganya (untuk turut menghidupkan malam).” [HR Bukhari 2024]
Oleh itu, sebagai umat Islam perlulah bersungguh-sungguh merebut ganjaran yang Allah berikan di dalam bulan Ramadan penuh kemuliaan yang bakal tiba nanti serta di dalam bulan-bulan lain.
Semoga Allah SWT memasukkan kita dalam kalangan hamba-Nya yang dapat bertemu dengan bulan Ramadan yang penuh dengan rahmat dan pengampunan dari-Nya.
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah