4 Karya Seni Di Lapangan Terbang Antarabangsa, Simbolik Sambut Kehadiran Pelancong!

TARIKAN
April 13, 2022 - 01:36 PM


Jika anda bercuti atau pulang ke kampung untuk berhari raya dengan menaiki kapal terbang -- jangan lepaskan peluang berkunjung ke pameran 'KUL Art Airport' yang kini berlangsung di 4 buah lapangan terbang antarabangsa kendalian Malaysia Airports.

Pameran karya lukisan dan seni menarik tersebut diadakan bermula Mac hingga Jun 2022.

KUL Art Airport merupakan satu inisiatif bagi merealisasikan karya seni awam di pintu masuk negara, selain turut meraikan para pengunjung bersempena dengan pembukaan semula sempadan Malaysia kepada pelancong antarabangsa.

Berikut senarai lapangan terbang antarabangsa serta hasil karya yang dipamerkan untuk korang nikmati :-

1) Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) = Polyhedron Pavilion

Pavilion ini direka berdasarkan kepada kajian geometri yang berasal dari budaya mengenakan tatu oleh suku kaum Iban, Kadazan dan Orang Ulu. 

Di dalam pavilion, terdapat poster dan poskad dari pameran Nusa yang bakal menemui pengunjung di Balai Seni Negara sempena dengan pembukaan semula Bangunan Galeri.

2) Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) = OH! Budaya

Karya ini juga bersifat interaktif dimana panel ini boleh diterokai dalam memahami hubungan tanpa batasan antara warna, manusia, dan budaya melalui bahan, corak serta persilangan antaranya. Karya ini juga mesra pengguna dan inklusif untuk dihayati.

Anda boleh mengintai melalui salah satu tingkap atau main sorok-sorok di antara panel yang saling berkait ini dimana dapat menjadi tempat untuk semua orang untuk berhubung, berinteraksi dan bermain.

3) Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu = 'Nature Mind of Landscape'

Sebuah karya grafiti untuk mengingatkan generasi kini tentang kepentingan alam dan haiwan hidupan liar yang semakin pupus.

Menggambarkan beberapa jenis haiwan liar dengan berlatarbelakangkan landskap hutan dan keberadaan figura wanita memperlihatkan bagaimana hubungan antara manusia dengan alam semulajadi.

Gambaran dari warisan alam dan hidupan liar ini juga adalah satu keunikkan negeri Sabah yang perlu dilindungi dan dipulihara. Jangan lepaskan peluang untuk menikmati karya ini bersempena dengan KUL Art Airport dan berswafoto di mural yang berada di pintu masuk pelepasan lapangan terbang tersebut.

4) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching = “Reciting Hope”

Sebuah karya seni arca yang dihasilkan dengan membawa satu visi untuk mengetengahkan nilai kebudayaan dan alam semula jadi. Sebagai sebahagian daripada kehidupan manusia, kita menjadikan budaya dan alam di sekeliling kita sebagai sumber ilmu dan inspirasi ke arah pertumbuhan teknologi digital. Ianya telah mendorong dalam penghasilan karya “Reciting Hope” yang terdiri daripada elemen-elemen dari alam semula jadi, faktor pembangunan, dan teknologi, digabungkan di dalam satu karya.

Dari segi representasi dan ekspresi karya arca ini, ia menstrukturkan dirinya kepada dua bentuk utama (saling berkait) yang membawa maksud “Hope”.

Bahagian konkrit pecah ini adalah representasi akibat peperangan, kejatuhan ekonomi, bencana alam sekitar, dan wabak yang membawa kepada isu sosial, kemelesetan ekonomi, dan kemiskinan. Pada masa yang sama, ia masih lagi berpaut pada harapan (sifat). Ia mengikat kita dengan persoalan sebenar iaitu siapa diri kita? dan mengapa kita berada di sini?

Selain bertujuan menambah baik faktor keselesaan dan bersifat mesra pelanggan di ruang lapangan terbang kepada pelancong domestik dan antarabangsa, projek ini juga memberi peluang kepada seniman tempatan untuk menerokai dan memperkenalkan identiti seni dan budaya di platform antarabangsa.

Pendekatan ini juga sejajar dengan konsep Seni di Lokasi yang diperkenalkan oleh Balai Seni Negara malah dilihat dapat menjadi salah satu projek seni karya awam yang mengangkat seniman tempatan dalam mempromosi karya seni di pintu masuk negara.

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah