ECRL Mula Operasi Januari 2027, Dijamin Bebas Banjir Bila Musim Tengkujuh
VIRALApril 18, 2022 - 03:10 PM
Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665 kilometer dijamin masih dapat beroperasi walaupun hujan lebat dan banjir melanda Pahang, Terengganu dan Kelantan pada musim tengkujuh.
Keseluruhan struktur kejuruteraan jajaran termasuk terowong dan jambatan juga dibina dengan mengambil kira ukuran tahap melampau hujan menerusi tempoh purata berulang (ARI) 100 tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata lokasi-lokasi banjir dan berisiko bah juga sudah dikenal pasti awal -- sekali gus dapat memastikan reka bentuk landasan yang lebih tinggi daripada paras banjir tertinggi pernah direkodkan.
“Misalnya di Sungai Pahang, statistik paras ketinggian banjir ialah 38 meter, jadi landasan yang dibina ialah 51.2 meter dengan perbezaan sebanyak 13 meter.
“Ini antara contoh yang boleh dikongsikan, maksudnya dari segi jajaran kita memang lebih daripada paras banjir yang telah berlaku sepanjang tempoh 100 tahun dan kita tambah lagi 20 peratus,” katanya.
ECRL yang merangkumi 59 terowong dan beberapa jambatan dijadualkan siap pada Disember 2026 dengan kos bernilai RM50.27 bilion.
Menurut Darwis, kemajuan keseluruhan projek ECRL di keempat-empat negeri iaitu Pantai Timur dan Selangor kini mencapai 28.57 peratus dan berjalan lancar seperti dijadualkan.
Dalam pada itu, beliau berkata, harga tiket penumpang bagi sistem pengangkutan berkenaan akan ditetapkan pihak kerajaan sebaik sahaja beroperasi pada Januari 2027.
“Saya yakin dan percaya kerajaan akan memutuskan harga yang wajar iaitu berpatutan dan tidak membebankan rakyat. Sebanyak 70 peratus kapasiti ECRL melibatkan pengangkutan kargo manakala baki 30 peratus lagi adalah penumpang,” katanya.
Terdahulu, Darwis berkata, kesemua enam stesen ECRL di Terengganu dijadualkan mula dibina pada suku keempat tahun ini dengan kerja-kerja infrastruktur siap pada 2024 dan pengujian pula pertengahan 2026.
Sumber: UTUSAN
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah