Zoo Negara Bakal Ditutup? Hanya Mampu Bertahan Sehingga April Ini
VIRALFebruary 05, 2021 - 11:23 PM
Dalam tempoh sukar rakyat menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ternyata bukan sahaja hotel, syarikat penerbangan dan pemain industri pelancongan yang menerima tempias paling teruk, bahkan Zoo Negara juga tidak terkecuali.
Buktinya, ketika ini Zoo Negara terpaksa berjimat dalam pengurusan kos operasinya berikutan bekalan kewangan yang ada hanya mampu bertahan sehingga April.
Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly@Rahmat Ahmat Lana berkata, setakat ini pihaknya masih mampu menampung kos operasi termasuk keperluan makanan haiwan serta gaji pekerja.
Menurutnya, dana yang ada ketika ini mencukupi bagi kos operasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berakhir 18 Februari ini.
"Zoo Negara akan berdepan masalah kewangan jika PKP dilanjutkan untuk tempoh yang lebih panjang. Saya berharap itu tidak berlaku.
"Jika dilanjutkan, kita terpaksa merayu kepada kerajaan supaya memberi kebenaran beroperasi atau mencari kaedah lain untuk meneruskan kelangsungan," katanya.
Bagaimanapun, beliau yakin tempoh PKP akan segera berakhir kerana ia bukan saja menjejaskan pendapatan Zoo Negara yang bergantung kepada jualan tiket, malah turut memberi kesan kepada ekonomi.
Rosly berkata, Zoo Negara kurang menerima sumbangan seperti makanan haiwan sejak PKP dilaksanakan tahun ini berbanding PKP tahun lalu.
"Permulaan PKP dahulu, orang berebut-rebut nak beri sumbangan makanan haiwan dan dana sehingga kita berjaya mengumpul RM10 juta," katanya.
Ditanya mengenai kempen haiwan angkat yang dilancarkan Zoo Negara pada tahun lalu, katanya, ia masih lagi diteruskan namun sambutannya sudah berkurangan.
Menerusi kempen itu, orang ramai boleh memilih sama ada mahu memberi sumbangan secara one off (sekali sumbangan) atau secara bulanan mengikut pakej ditetapkan.
Kredit Sumber: Harian Metro
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah