Sana Sini Kata Beliau Bakal PM Ke-9 Dan Ini 9 Trivia Tentang Siapa Ismail Sabri!

FEATURED
August 19, 2021 - 06:00 PM


Selepas negara digegarkan dengan kemelut perletakan jawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin -- sehari dua ini kecoh pula dengan khabar angin yang mendakwa bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disebut-sebut sebagai calon PM Malaysia ke-9!

Bagaimanapun sehingga artikel ini ditulis (19 Ogos 2021), masih belum ada kepastian siapa gerangan yang bakal diperkenankan oleh Yang diPertuan Agong sebagai Perdana Menteri baharu.

Meskipun ada beberapa ahli politik termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertiup kencang sebagai nama calon yang dihantar ke Istana Negara -- namun semuanya masih belum mendapat satu kepastian sahih.

Bagaimanapun, nama yang 'paling panas' dikatakan bakal menduduki jawatan nombor satu itu adalah Datuk Seri Ismail Sabri apabila beliau berjaya menjadi calon pilihan UMNO dan BERSATU.

Walau apa juga yang bakal berlaku, jom kita tengok siapakah sebenarnya individu di sebalik nama Ismail Sabri ini & apa 9 trivia menarik dalam rekod pencapaian beliau hingga ramai yang mencalonkan dirinya sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.

1) Ismail Sabri, 60 tahun pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya dan memulakan karier sebagai peguam pada 1985 dan pernah menggalas tugas sebagai Pengarah Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA) dan Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia.

2) Anak kelahiran Temerloh, Pahang itu mula bergiat aktif dalam politik pada 1987 dengan menjawat Ahli Jawatankuasa UMNO bahagian Temerloh, sebelum dilantik Ketua Penerangan bahagian setahun kemudian.

3) Menjadi Ketua UMNO bahagian Temerloh pada 2004, karier politik beliau terus meningkat sehingga dipilih sebagai Naib Presiden UMNO pada 2018 selain dilantik Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018.

4) Naib Presiden UMNO itu berada dalam Kabinet sejak tahun 2008 hingga 2018 dan memegang portfolio :

- Menteri Belia dan Sukan

- Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna

- Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani

- Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah

5) Antara inisiatif terkenal yang dilaksanakannya ketika menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani termasuk, 'jihad memerangi orang tengah'.

6) Ahli Parlimen Bera itu juga memperkenalkan inisiatif 'MARA Digital', supaya Bumiputera tidak ketinggalan dalam perniagaan dalam bidang teknologi komunikasi maklumat, ketika menggalas tugas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

7) Dalam barisan jemaah menteri baharu di bawah Perikatan Nasional (PN), Ismail Sabri berjaya dilantik sebagai Menteri Kanan merangkap Menteri Pertahanan yang kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri.

8) Merupakan ayah kepada Gadaffi atau lebih dikenali sebagai Dafi penyanyi dan pelakon, yang juga merupakan bekas peserta Akademi Fantasia musim ke-5.

9) Ayah mertua kepada pereka fesyen popular, Datuk Jovian Mandagie yang bertanggungjawab menata gaya baju-baju istimewa dipakai Ismail Sabri ketika sidang media harian perkembangan Covid-19 serta menjadi viral dan bualan netizen.

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah