Kem Tasik Biru - Port Camping Dengan View 'Mahal' Di Jasin, Melaka

TARIKAN
May 12, 2022 - 12:06 PM


Menjadi trend popular sejak kebelakangan ini apabila ramai memilih percutian berkonsepkan perkhemahan.

Ini kerana percutian dalam kumpulan kecil selain bersantai di lokasi terpinggir dan terasing dari kelompok ramai orang ternyata memberikan rasa lebih selamat terutama dalam fasa pasca pandemik.

Bagi peminat aktiviti berkhemah itu sendiri, pastinya meneroka lokasi baru terutama kawasan yang jarang dijejaki memberi kepuasan tersendiri apabila menjadi individu pertama dapat merasai suasana bermalam di situ.

Bagi Muhammad Asrul Aliff Shaa'ri, dia begitu teruja ketika pertama kali mengunjungi satu 'port' baru iaitu Kem Tasik Biru.

Ia membabitkan lokasi persendirian baru sahaja dibuka kepada umum terutama mereka yang meminati aktiviti perkhemahan di Jasin, Melaka.

Jasin antara daerah paling selatan dalam Melaka apabila terletak bersebelahan dengan daerah Tangkak, Johor sementara Tampin bagi sempadan Negeri Sembilan.

Tidak hairanlah kedudukan sedemikian memberi potensi kepada lokasi baru ini memiliki daya penarik terutama hamparan pemandangan malar hijau iaitu Gunung Ledang yang boleh disaksikan dari tapak perkhemahan.

Menurut Muhammad Asrul yang juga jurugambar turut terpesona dengan panorama Kem Tasik Biru itu apabila pertama kali sampai ke lokasi berkenaan.

"Waktu pertama kali saya sampai ialah pada Disember 2020 dan pemiliknya tidak membuka kawasan kem itu untuk kunjungan orang perseorangan. Sebenarnya lokasi ini lebih kepada kem untuk aktiviti latihan membabitkan syarikat korporat, agensi dan program pelajar.

"Ketika pandemik, lokasi ini ditutup dan saya bersama rakan memujuk pemilik untuk membukanya kepada penggiat aktiviti perkhemahan kerana lapangan kem itu sangat sesuai bagi aktiviti terbabit," kata Pengasas Primitiv Camping Club itu.

Sebagai jurugambar, menyaksikan latar belakang kawasan dan suasana di kem itu begitu cantik terutama refleksi langit yang 'jatuh' pada permukaan tasik ternyata memberi gambaran kepada nama tasik itu sendiri.

"Untuk saya dan rakan peminat aktiviti perkhemahan, pemandangan paling 'mahal' ialah ketika sebelah pagi apabila tempat kami dirikan khemah boleh melihat hamparan pemandangan Gunung Ledang kerana kedudukan kawasan ini yang bersempadan dengan Tangkak.

"Suatu yang mengasyikkan dan mendamaikan apabila dapat beristirahat dalam suasana begitu tenang jauh dari hiruk pikuk kota ditambah pula pemandangan gunung.

"Ia sangat berbeza dengan pengalaman berkhemah di lokasi belantara sungai mahupun dari gunung bagi saya dan rakan yang pertama kali melakukan aktiviti perkhemahan di tasik ketika berada di Kem Tasik Biru," katanya.

Pemilihan lokasi berkenaan juga dilakukan kerana kedudukan yang tidak jauh dengan bandar Muar dan mudah diakses baik kenderaan mahupun bagi mereka yang gemar berbasikal.

"Kedudukan Kem Tasik Biru ini juga tidak jauh dari Muar yang menjadi tempat tinggal saya. Hanya memakan masa perjalanan kira-kira 45 minit hingga satu jam dengan pemanduan kereta.

"Kunjungan kali kedua iaitu pada tahun lalu, saya bersama 'geng' Primitiv Camping Club terdiri daripada 19 orang, sebahagiannya memilih untuk mengayuh basikal dari Muar. Kami berkayuh kira-kira dua jam untuk ke kem terbabit.

"Meskipun ke lokasi perkhemahan yang sama namun pengalaman berbeza. Dengan berbasikal perjalanan lebih mengujakan kerana dapat menikmati pemandangan sepanjang jalan dengan lebih dekat selain dapat merakam lebih banyak detik atau lokasi menarik," katanya.

Mengenai aktiviti ketika berada di kem terbabit, kata Muhammad Asrul, pengunjung boleh menyertai aktiviti air di tasik terbabit seperti berkayak atau mandi-manda.

"Meskipun saya selalu berkhemah dan melakukan rekreasi air di sungai dan tepi pantai, untuk aktiviti air di tasik sangat berlainan sama sekali. Saya tidak boleh ketepikan perasaan berdebar, apatah lagi dimaklumkan kedalaman air lebih 100 meter.

"Saya boleh bayangkan kedalaman tasik itu menyamai 10 tingkat bangunan. Namun pengusaha kem berkenaan menekankan aspek keselamatan terutama perlu mengenakan jaket keselamatan ketika berada di dalam air menyebabkan perasaan bimbang mula reda.

"Malah aktiviti keyakinan di air iaitu terjun di satu sudut tanpa mengenakan jaket keselamatan sambil dipantau dua jurulatih di kem berkenaan juga memberi cabaran lain kepada saya selaku peminat rekreasi," katanya.

Malah, orang ramai tidak perlu bimbang kerana kemudahan seperti lampu dan juga sumber air disediakan di kem terbabit.

"Kali terakhir kunjungan saya sebelum Ramadan baru-baru ini, banyak penambahbaikan dilakukan kem berkenaan untuk memberi keselesaan pengguna. Ada juga lokasi sesuai untuk kumpulan pelancong karavan.

"Selain itu penambahbaikan laluan trek untuk pejalan kaki, pengisian aktiviti turut dilihat lebih unik. Difahamkan terbaru, ada tapak perkhemahan yang lebih ekstrim iaitu tanpa kemudahan air dan elektrik di satu lokasi lain tidak jauh dari kem terbabit.

"Mungkin perlu berkayak dan berjalan kaki kerana ia lebih berkonsepkan ikhtiar hidup. Jadi, persiapan lebih rapi perlu dilakukan iaitu kena ada peralatan mencukupi selain membawa bekalan makanan untuk 'tinggal' di situ," katanya.

Tidak jauh dari kawasan tasik itu terdapat 'port' makanan popular iaitu Pizza Arang Kayu di Tasik Chin Chin yang tular boleh dijadikan perhentian sebelum sampai ke Kem Tasik Biru.

Sumber: Harian Metro & Kredit Gambar: FB Amai Hamid & Twitter MakTam

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah