'Leypark Station' - Tarikan Baharu Ala Jonker Walk Di Ayer Keroh, Melaka
TARIKANFebruary 18, 2022 - 03:22 PM
Kalau sebelum ini antara tarikan utama pengunjung ke Melaka adalah Jonker Walk -- namun kini terdapat satu lagi tempat tumpuan yang happening untuk santai dan cari makan iaitu "Leypark Station"!
Bertempat di Ayer Keroh, Leypark Station merupakan sebuah tapak perniagaan pada waktu malam dan mula dibuka secara rasmi sejak bulan Januari lalu.
Kini Leypark Station menjadi antara lokasi tertinggi dikunjungi apabila merekodkan jumlah pengunjung luar biasa iaitu 3,000 orang dalam sehari menurut data MySejahtera.
Seramai 40 peniaga menjual makanan dan pelbagai barangan cenderamata di Leypark Station -- sekali gus memudahkan pengunjung khususnya pelancong luar yang sebelum ini terpaksa memandu sejauh kira-kira 15 kilometer ke pusat bandar semata-mata mahu merasai suasana malam.
Sebelum ini Ayer Keroh dianggap sebagai sebuah 'bandar mati' pada waktu malam dan hari biasa, namun ia mula berubah wajah sejak diambil alih Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).
Daripada sunyi sepi, kawasan itu mula menjadi tumpuan pelancong dan berubah ‘happening’!
Bukan itu sahaja, malah beberapa tarikan baharu juga akan dibuka tidak lama lagi antaranya sebuah taman bunga di Dataran Sejarah Ayer Keroh yang bakal dihiasi pokok-pokok dan bunga berwarna-warni.
Taman itu juga bakal dihiasi dengan lampu pada waktu malam, yang mana ia sesuai untuk lokasi bergambar.
Taman berkenaan sudah lebih 90 peratus siap dan dijangka mula dibuka kepada orang ramai pada penghujung bulan Februari ini.
Selain lokasi bergambar -- sebuah tapak kendera saji (food truck) akan turut dibangunkan di sekitar Dataran Sejarah Ayer Keroh.
Tapak yang mampu menempatkan 10 hingga 15 kendera saji itu juga katanya, mampu memberi peluang kepada peniaga-peniaga makanan yang sebelum ini terkesan akibat pandemik COVID-19.
Sumber: Melaka Hari Ini
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah