La Hot Spring - Kolam Air Panas Penuh 'Khasiat' Untuk Rekreasi Keluarga Di Terengganu

TARIKAN
August 21, 2020 - 12:53 PM


Terengganu sangat sinonim dengan keindahan pulau-pulau peranginan, pantai yang cantik sepanjang 244 kilometer (km) serta tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara iaitu Tasik Kenyir.

Namun, masih ramai tidak menyedari terdapat satu lagi lokasi pelancongan tersembunyi yang sangat istimewa untuk dikunjungi tatkala menjengah ke Terengganu iaitu Kolam Air Panas La yang terletak di Hulu Besut.

Terletak kira-kira 125km dari bandar raya Kuala Terengganu dan 28km dari pusat bandar terdekat iaitu Jerteh, kunjungan ke Kolam Air Panas La pasti meninggalkan memori terindah buat sesiapa sahaja yang datang ke lokasi tersebut.

Tidak sepopular pulau peranginan lain yang menjadi tumpuan di Terengganu, Kolam Air Panas La sebenarnya agak terkenal dalam kalangan penduduk setempat serta negeri jiran, Kelantan yang sering datang untuk beriadah bersama keluarga dan sahabat selain menikmati air panas semula jadi yang dipercayai penuh ‘khasiat’ di kawasan itu.

Tinjauan Bernama ke Kolam Air Panas La mendapati turut tersedia beberapa kemudahan khusus untuk pelancong bermalam iaitu chalet, restoran, surau, tandas dan tiga kategori kolam mengikut suhu kepanasan berbeza.

Seorang pengunjung, Azizi Mamat, 38, berkata beliau sering ke situ untuk mendapatkan khasiat mandi air panas semula jadi kerana ia didapati berkesan dalam mengurangkan tekanan, melancarkan aliran darah dan menghilangkan lenguh badan.

"Melalui pembacaan saya, kajian sains juga membuktikan kandungan sulfur dan mineral semula jadinya sangat bagus untuk meredakan kesakitan saraf dan penyakit berkaitan kulit.

"Ada juga saya jumpa yang lumpuh separuh badan datang ke sini bersama keluarga mereka kerana air panas dikatakan bagus untuk membantu mempercepatkan lagi proses pemulihan mereka," katanya.

Seorang lagi pelancong, Khalilah Abd Rahim, 28, yang pertama kali mengunjungi Kolam Air Panas La meluahkan keterujaan kerana dapat merasai air panas semula jadi dalam suasan penuh ketenangan, jauh daripada kesibukan kota.

"Cuma saya berharap ruang mandi air panas yang dibina khas untuk pengunjung perempuan dapat dibaiki secepat mungkin kerana ia memberikan kami lebih privasi untuk meluangkan masa dengan lebih lama di sini," katanya yang mengakui berasa sangat selesa di situ kerana kawasannya terjaga rapi dan bersih.

Pusat pelancongan itu yang lebih dikenali sebagai La Hot Spring telah dibuka kepada orang ramai sebagai tempat pelancongan pada tahun 1992 sempena pelancaran Ekspo Pembangunan dan Pekan Budaya Daerah Besut ketika itu.

Dengan slogan 'Lokasi Percutian Semula Jadi Anda' -- Kolam Air Panas La ini dalam cadangan untuk menambah baik dari segi bilangan chalet dengan reka bentuk yang lebih menarik agar terus menjadi destinasi pilihan pelancong ke Terengganu.

Sumber: BERNAMA

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah