Mural Gergasi Bertema Pandemik Jadi Port Instagram Baru Di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur
TARIKANOctober 26, 2020 - 04:44 PM
Kalau korang tinggal di ibu kota atau mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur, jangan lepaskan peluang untuk bergambar kenang-kenangan berlatarbelakangkan mural cantik yang bertemakan pandemik COVID-19!
Mural ini adalah hasil inisiatif Balai Seni Negara dengan kerjasama Klinik Kesihatan Kuala Lumpur yang telah menjemput dua pelukis mural berbakat besar iaitu Abdul Rashade, 36 tahun dan Dhiyaul Mohamad Ashraf Dawari, 29 tahun.
Mural gergasi bersaiz 2,500 kaki persegi itu terbahagi kepada dua bahagian iaitu lukisan potret wajah pemimpin dan petugas barisan hadapan yang telah bertungkus-lumus berusaha bagi mengekang penularan pandemik berkenaan.
Sebagai menghargai jasa mereka, mural cantik itu mula dilukis pada 22 September dan siap sepenuhnya pada 10 Oktober lepas dengan menggunakan 40 tin cat semburan dan 10 tin cat bersaiz lima liter.
Lakaran mural frontliners Malaysia ini bakal menjadi tumpuan di klinik berkenaan, sekaligus menjadi salah satu daya tarikan terbaharu di ibu kota
Abdulrashade berkata dalam menterjemah hasil tangan tersebut yang bertajuk ‘Rasa’ -- ia memberi gambaran mengenai perasaan wira-wira negara yang tidak didendang ini, yang menjadi 'benteng' untuk membendung penularan wabak berkenaan.
“Kekuatan karya saya terletak pada imej seorang jururawat dengan wajah dan mata yang pegun bagi menggambarkan betapa beratnya tanggungjawab yang harus dipikul demi kesenangan semua pihak.
“Ia pastinya terasa sayu dan pilu apabila terpaksa meninggalkan keluarga demi tugasan dan tanggungjawab kepada negara,” katanya.
Lukisan mural yang dihasilkannya itu melalui pelbagai kajian dan rujukan yang antaranya menerusi tulisan dan kata-kata semangat atau mesej pada set Peralatan Perlindungan Diri (PPE) sehingga menjadi tular di media sosial.
Katanya secara tidak langsung ia memberinya inspirasi dalam menggambarkan imej yang bermain di minda seterusnya diterjemahkan di dinding sebagai kanvas.
“Sebagai contoh, imej seorang ibu memandang wajah anaknya dengan penuh kasih sayang selain paparan wanita tua dan pekerja penghantaran makanan,” katanya yang berpenglaman dalam bidang seni sejak tahun 2003 lagi.
Seorang lagi pelukis mural yang terlibat, Dhiyaul pula menampilkan lukisan mural wajah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, di bawah karya yang bertajuk ‘We Are Strong Together’.
“Pemilihan subjek dalam lukisan ini adalah imej-imej yang selalu kita lihat di kaca televisyen sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lepas. Setiap hari, kita sebagai rakyat pasti tertunggu-tunggu mereka mengumumkan mengenai bilangan kes harian selain selalu dinasihatkan supaya duduk di rumah,” katanya.
Sumber: BERNAMA & Kredit Gambar: FB Klinik Kesihatan KL
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah