Ore Kelate Nak Bercuti Gi Langkawi? Malindo Air Ada Buka Laluan Baharu Untuk Anda!
TARIKANJanuary 05, 2022 - 01:24 PM
Bagi ore Kelate yang ingin terbang untuk bercuti ke Pulau Langkawi, ini ada satu berita baik menanti anda!
Bermula 27 Januari ini, Malindo Air membuka tempahan untuk laluan penerbangan baharu Kota Bharu-Langkawi-Kota Bharu.
Malindo Air memaklumkan, penerbangan empat kali seminggu merupakan laluan baharu ke Langkawi dalam memenuhi permintaan perjalanan domestik.
Tambang promosi untuk sehala bagi laluan baharu Kota Bharu–Langkawi bermula daripada RM169, termasuk elaun bagasi percuma 15 kilogram (kg).
"Sempena pelancaran laluan baharu ini, elaun bagasi percuma seberat 15 kg diperluaskan kepada pemegang tiket super jimat," menurut kenyataan Malindo Air.
Menurut Malindo Air, penerbangan OD1334 akan berlepas dari Kota Bharu pada pukul 10.15 pagi dan tiba di Langkawi pada pukul 11.20 pagi dengan penerbangan akan mengambil masa 1 jam 5 minit.
"Penerbangan pergi balik OD1335 kemudiannya akan berlepas dari Langkawi pukul 2.50 petang dan tiba di Kota Bharu pukul 4.05 petang," katanya.
Katanya, perkhidmatan baharu itu akan dikendalikan oleh pesawat turbo-prop ATR72-600 dengan kapasiti 72 tempat duduk.
Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Kapten Mushafiz Mustafa Bakri berkata, laluan baharu itu menjadikan satu-satunya syarikat penerbangan yang menawarkan perkhidmatan Kota Bharu dan destinasi percutian terkemuka di Langkawi.
"Perkhidmatan baharu ini sebagai maklum balas permintaan tinggi orang ramai. Kami percaya terdapat peluang besar untuk pertumbuhan masa depan yang dikaitkan dengan ketersambungan baharu ini," katanya.
Mushafiz berkata, laluan baharu itu bukan sahaja menarik industri pelancongan tetapi perniagaan daripada VFR (melawat keluarga dan saudara mara) serta komuniti perniagaan.
"Kami akan bekerjasama rapat dengan Lembaga Pembangunan Langkawi, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (Kelantan) dan semua agensi pelancongan di kedua-dua negeri.
"Kami percaya kerajaan Kelantan sedang menumpukan usaha untuk menarik pelancong domestik ke negeri itu bagi memulihkan kempen Melawat Kelantan yang terjejas akibat COVID-19," katanya.
Sumber: Astro Awani
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah