'Pedang Hukuman' 300 Tahun Antara 10,000 Artifak Menarik Dipamer Galeri Kraf Warisan Purba, Kelantan

TARIKAN
October 05, 2020 - 11:58 AM


Bagi mereka yang merupakan seorang penggemar barangan antik dan artifak bersejarah serta sedang bercuti ke Kelantan, jangan lepaskan peluang untuk melawati 'Galeri Kraf Warisan Purba' di Jalan Kuala Krai, Kota Bharu.

Ini kerana galeri yang juga merupakan kediaman pemiliknya iaitu Mohamad Fauzi Kamaruddin, menempatkan lebih 10,000 artifak -- termasuk sebilah pedang dianggarkan berusia 300 tahun yang dipercayai digunakan untuk memancung kepala pesalah pada zaman itu.

Sebaik menjejakkan kaki ke galeri tersebut, pastinya mata anda bakal terpukau melihat pameran artifak yang tersusun kemas seperti pedang, keris, lembing, ukiran pintu dan tingkap, cincin, pinggan mangkuk dan basikal lama.

Artifak di galeri ini sebahagian besarnya merupakan tinggalan zaman Kesultanan Melayu Kelantan dan Patani, yang dikumpulkan untuk tatapan generasi muda.

Paling menarik yang anda tidak boleh lepaskan adalah untuk melihat sendiri pedang yang dipanggil `Pedang Hukuman'.

Usia pedang berkenaan dianggarkan telah berusia 300 tahun dan masih ada kesan darah yang dipercayai digunakan untuk memancung kepala pesalah pada zaman tersebut.

Selain itu, koleksi lain yang menarik dan disifatkan unik oleh pemiliknya adalah 9 bilah keris lama yang dibuat oleh penempa terkenal dari tanah Jawa digelar ‘Pandai Saras’, lebih 100 tahun lalu.

Dikatakan penempa keris tersebut pernah menetap di Kelantan bagi membuat senjata untuk panglima Istana Kelantan ketika itu.

Koleksi lain yang tak kurang hebatnya ialah beberapa bilah kapak kecil yang dipercayai pernah digunakan oleh pengikut Tok Janggut ketika menentang British di Pasir Puteh.

Istimewanya barangan yang ada di Galeri Kraf Warisan Purba ada yang tidak pernah dilihat oleh generasi sekarang seperti kukur kelapa, topi askar British ketika zaman Jepun dan senjata lama seperti lawi ayam dan buku lima.

Bagi sebarang pertanyaan anda boleh sahaja menghubungi nombor 011-6109 9298.

Jadi jika anda berkunjung ke Kelantan, jangan lepaskan peluang untuk melawat Galeri Kraf Warisan Purba yang menjadi lubuk artifak berharga untuk tatapan kita sebagai generasi muda.

Sumber: BERNAMA & Kredit Foto: FB Kraf Warisan Purba

 

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah