Wow! Perincian Masjid Ar-Rahman Ni Confirm Buat Korang Terpukau.

JALAN-JALAN
April 12, 2019 - 06:08 PM


Siapa yang bercuti ke Kelantan dan nak tahu kenapa negeri itu popular dengan gelaran “Serambi Mekah”.

Korang kena singgah ke sebuah masjid yang dinamakan Masjid Ar-Rahman di Kampung Pulau Gajah, Pengkalan Chepa yang terletak kira-kira 7 kilometer sahaja dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

Ramai yang terpegun sebaik saja mereka tiba di depan perkarangan masjid yang baru dibuka tahun lepas ini.

Mana taknya, dari rekaan luarannya sahaja sudah menggambarkan keunikan seni bina Islam dan Melayu serta gabungan hiasan binaan dari 4 negara luar seperti Indonesia, Maghribi, Yaman dan Turki.

Seolah-olah berada di tengah-tengah pulau, masjid ini sebenarnya dibina di atas tanah paya bakau oleh seorang penderma yang mewakafkan tanah miliknya, dibeli sejak 25 tahun lalu.

Menurut Imam Tua masjid itu, Hasan Mahmood, 76, penderma yang enggan namanya disiarkan turut menanggung kos pembinaan masjid, selain beliau sendiri  bertanggungjawab sepenuhnya dalam rekaan masjid itu.

Memetik laporan MStar, ukiran ayat Al-Quran daripada kayu yang memenuhi bahagian atas masjid menggunakan kepakaran pengukir dari Japara, Indonesia.

Malah banyak hiasan dalamannya juga diperoleh dari negara luar misalnya dua batang pokok tamar diimport dari Timur Tengah bagi menyerikan lagi kawasan mimbar.

Selain itu, 10 batang kayu cengal dari kawasan hutan Hulu Kelantan juga menjadi penyeri dalam pembinaan masjid ini.

Signifikannya 5 batang kayu sebesar pemeluk yang didirikan di dalam ruang solat masjid melambangkan 5 perkara dalam Rukun Islam.

Setiap arca atau hiasan dalaman masjid ini juga mempunyai maksud tersirat, termasuk batu yang diukir dengan ayat suci Al-Quran menjadi hiasan di tepi masjid juga adalah diilhamkan dari Batu Bersurat Terengganu.

Manakala ‘Beduk dan Ketuk-Ketuk’ di luar masjid juga adalah yang asli dibeli dari negara jiran.

Meskipun ia tidak digunakan, barang warisan itu tetap dipamerkan untuk tatapan generasi muda.

Ia bagi menggambarkan bagaimana di zaman dahulu, meskipun tanpa pembesar suara, masyarakat Islam ketika itu menggunapakai kedua-dua alat tersebut untuk menandakan masuknya waktu solat.

Paling menarik perincian masjid ini dibina dengan sangat praktikal dan mementingkan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) serta warga emas yang mempunyai masalah sakit kaki.

Dengan hanya dua mata tangga dan ada juga laluan kerusi roda, masjid ini turut menyediakan tandas duduk bagi kegunaan mereka.

Hanya ada satu saja tandas cangkung di kedua-dua bilik air lelaki dan wanita, berbeza dengan kebiasaan masjid di luar bandar.

Walaupun masjid ini diinspirasikan Masjid Kampung Laut iaitu masjid tertua di Malaysia tetapi ia dibina dengan ciri teknologi hijau yang mesra alam.

Tanpa penyaman udara, masjid ini tetap berasa sejuk di bahagian dalam hasil binaan tingkap dari atas hingga ke bawah yang memberi laluan angin masuk.

Pengumpulan air hujan untuk kegunaan air pancut di sekeliling masjid juga turut menyumbang kepada elemen menyejukkan masjid ini.

Memang ‘wow’ kan masjid ni, siapa yang berpeluang solat di sini memang beruntung!

Tak hairanlah kalau Masjid Ar-Rahman ni orang kata dah ramai pelancong dalam dan luar negara datang singgah kalau mereka bercuti ke Kota Bharu.

Jadi, jomlah korang lawat masjid ni! Dah alang-alang sampai sana, jangan lupa untuk sama-sama mengimarahkan masjid ya, banyak dapat pahala...hehehe...

Sumber: MStarKredit Foto: Facebook

 

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah