Miker Pizza : Port Makan Piza Hipster Kat Ipoh, Perak
MAKANDecember 08, 2021 - 07:22 PM
Ipoh sememangnya popular sebagai sebuah destinasi untuk jalan-jalan cari makan!
Dah menjadi kebiasaan jika bercuti ke Perak mesti nak singgah Ipoh bagi korang yang kaki makan dan juga berstatus 'pemburu kuliner'.
Menikmati sarapan di New Hollywood, nasi ganja atau nasi vanggey pula sebagai juadah tengah hari, manakala mi kicap atau laksa telur sarang dijadikan menu petang sebelum santai menghirup secangkir kopi bersama rakan.
Semua itu antara aktiviti wajib ketika berkunjung ke Ipoh yang turut dikenali sebagai pekan hipster di kalangan generasi muda ketika ini yang turut mempunyai banyak kafe dan kafe kopi hipster.
Di sebalik semua itu terdapat satu lagi keunikan dan tumpuan ramai di Ipoh untuk 'food hunting' iaitu menikmati piza air tangan anak muda yang mempunyai menu cita rasa gabungan Barat dan tempatan.
Korang wajib singgah ke MIKER PIZZA!
Kedai piza berkonsep hipster ini diusahakan oleh 2 anak kelahiran Perak iaitu Muhammad Shakir Jushaah, 36, dan Mohd Amzari Zamri, 37 serta kian digemari ramai oleh segenap lapisan umur.
KAFE PIZA BERKONSEP HIPSTER
Muhammad Shakir berkata, pada mulanya menu piza mereka berada di bawah 'payung' kafe Miker Food sejak 2016 sebelum mengambil keputusan untuk mempunyai kedai sendiri pada 2019.
Sejajar dengan perkembangan dan konsep hipster di Ipoh, mereka mahu membawa sesuatu yang baharu untuk menikmati piza yang cenderung kepada New York 'style' tapi masih mengekalkan identiti tempatan.
"Kami mempunyai 12 jenis piza seperti spicy tuna, crazee meat, chicken supreme, vege white pie, meatball lover, crazee cheese, pepperoni deluxe dan ultimate kampung.
"Toping seperti biasa, ada pelbagai jenis sama seperti piza lain dan keju mozarela digunakan dari Australia, cuma uniknya kami kami mempunyai pilihan toping gaya tempatan seperti cili padi, bunga kantan dan ikan bilis.
"Doh piza juga diadun sendiri dan dibuat segar setiap hari, malah boleh juga dibakar mengikut permintaan pelanggan contohnya 'just nice' atau 'medium'.
"Kami juga mendapat pujian daripada pelanggan yang gemarkan tekstur doh," katanya.
PIZA DENGAN CITARASA KAMPUNG
Muhammad Shakir, mengakui ultimate kampung adalah menu 'signature' kafe mereka yang digemari semua lapisan umur dengan rasa unik.
Piza itu menawarkan toping ikan bilis, cili padi, bawang Holland, bunga kantan memberikan keunikan --namun enak dengan kombinasi keju dan sos tomato.
"Rasanya pedas daripada cili padi, rangup ikan bilis dengan sensasi bunga kantan memberikan cita rasa kekampungan dan warga berusia juga gemar piza jenis ini termasuk pelanggan warga asing," katanya.
Berbekalkan minat mendalam beliau mengambil masa setahun belajar sendiri melalui YouTube untuk menghasilkan doh dan kombinasi sos serta toping.
"Kami mahu bila sebut saja Ipoh orang akan ingat Miker Pizza dan pelbagai variasi piza yang ada di sini," katanya.
PORT MAKAN PELANCONG
Mohd Amzari berkata, mereka mengeluarkan menu piza mengikut musim seperti Tahun Baharu Cina dan musim buah apabila pernah menawarkan Nangka Piza menggunakan nangka sebagai toping pizza.
Katanya, pelanggan boleh menyesuaikan toping mengikut cita rasa mereka sendiri.
"Sesetengah pelanggan takut mahu mencuba dan ada juga yang ok. Kami pula suka meminta pelanggan mencuba menu yang mereka tidak pernah cuba seperti ultimate kampung dan hasilnya 90 peratus mereka menyukainya.
"Sambutan menggalakkan dan ini membuktikan piza lokal juga boleh setanding dengan jenama lain, malah 'mat saleh' juga boleh terima piza kami," katanya bakal membuka cawangan barunya di Tambun dan Meru Raya, Ipoh.
Beliau lega, kebenaran rentas negeri membantu merancakkan kembali pelancongan domestik dan perniagaan mereka kerana pengunjung dari luar Perak kembali melancong ke negeri ini terutama pada hujung minggu.
Mereka juga mempunyai beberapa menu sampingan lain dan sesuai dijadikan 'port' lepak santai bersama rakan.
"Boleh dianggap kafe dan kedai makanan antara produk pelancongan sering menjadi 'buruan' orang ramai untuk berkunjung ke sesuatu tempat itu dengan ada segelintir anak muda khususnya gemar menggunakan konsep 'food hunting," katanya.
Sumber: Berita Harian & Kredit Gambar: Miker Pizza
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah