Peluang Rasai Kehidupan Sebenar Orang Borneo di Saloma Villagestay Kuching Sarawak
JALAN-JALANAugust 10, 2020 - 01:40 PM
Borneo merupakan pulau terbesar di Asia Tenggara dan yang dikongsi oleh tiga negara termasuk Malaysia. Keunikan yang ada di dalam Pulau Borneo memang tidak dapat disangkal lagi. Salah satunya adalah keunikan kehidupan orang-orang Borneo yang jarang mendapat liputan oleh orang ramai.
Bagi mereka yang berminat untuk rasai pengalaman sebenar tentang kehidupan orang Borneo, jom datang ke Kuching, Sarawak dan singgah di Saloma Villagestay.
Kunjungan saya ke Saloma Villagestay menemukan saya dengan Saloma yang ramah, berkulit cerah dan fasih berbahasa Inggeris.
Beliau mengusahakan villagestay dua tingkat yang berdiri kukuh di tebing sungai Sadir dan dikelilingi kawasan perbukitan tinggi.
Untuk sampai ke villastay ini, anda perlu melalui titian buluh yang menghubungkan sungai dengan jalan aspal.
Villagestay ini terletak di kampong Sadir, Padawan, Kuching, yang bukan lagi terpencil di Borneo. Ia juga bukan kampong yang tidak terjamah. Namun ia hidup dalam dunianya yang tersendiri.
Pemandangan di sini hijau di mana-mana, ladang, bukit, rumput, pohon. Para penduduk membawa barang di dalam bakul yang digalas di belakang badan. Jalan-jalan kecil di kampong ini diberi nama khusus.
Ini adalah perkampungan yang didiami majoriti masyarakat Bidayuh. Saya pernah menonton dokumentari tentang keunikan masyarakat ini. Pakaian tradisi mereka berwarna hitam dengan baju berlengan pendek, dihiasi dengan manik-manik halus pelbagai warna, kain sarung paras lutut, menjadi daya tarik pelancong.
Sewaktu meninjau-ninjau hiasan dalaman villagestay ini, gambar hiasan, buku lama, perabot rotan, saya melihat susun atur rumah yang lain dari yang lain. Unik, eksotik, antik, etnik, itulah yang menjadi daya tarik villagestay ini.
“Tahun lepas, kami menerima lebih seribu pengunjung, dalam dan luar negara” kata Saloma.
“Malah tempahan bagi bulan Jun, Julai, Ogos tahun ini sudah penuh, tetapi pengunjung tidak dapat datang disebabkan Covid,” kata beliau.
Saloma bukan sahaja menawarkan penginapan di villagestay ini. Beliau juga menawarkan khidmat jurupandu trekking ke lokasi air terjun Ban Buan Kukuot, yang terletak kira-kira 90 minit perjalanan dari villagestay ini.
Berada di villagestay ini membolehkan kita menikmati keindahan alam dengan cara yang kita inginkan. Sama ada secara santai, menikmati setiap pemandangan yang terhampar di sekeliling, atau merenungi setiap detail yang ditampilkan oleh alam.
Pengunjung boleh merayap, duduk bersantai, berdiskusi atau menikmati pemandangan semata-mata.
Villagestay ini adalah perjuangan Saloma sejak tiga tahun lalu. Daripada sebuah rumah keluarga, kini ia kini semakin dikenali.
Saloma terus mengharap Villagestay ini menerima pengunjung setelah tiada perniagaan akibat Perintah Kawalan Pergerakan.
Hidup di kawasan terpencil ini mungkin bukan satu pilihan terbaik, namun sebagai seorang usahawan, beliau terus mengharap yang terbaik.
Di sini pengunjung mencari kenyamanan, eksotik dan release dari hiruk pikuk kota, manakala Villagestay ini mempromosikan keunikan kehidupan Borneo.
Maklumat lanjut https://salomavillagestay.com/
Perkongsian dari facebook Yamin Ismail
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah