Apa Istimewanya 'Rumah Tukang Kahar' Di Kuala Pilah Yang Berusia 140 Tahun Ni?
TARIKANFebruary 19, 2020 - 11:34 AM
Kalau bercuti ke Negeri Sembilan, antara tarikan pelancongan yang boleh korang lawati tentunya pelbagai binaan tradisionalnya yang terkenal dengan suntikan elemen Adat Perpatih serta seni pertukangan Melayu lama seperti Muzium Negeri, Muzium Diraja Seri Menanti dan Teratak Zaa'ba.
Terbaharu, korang juga boleh berkunjung ke Rumah ‘Tukang Kahar’, iaitu kediaman seorang tukang kayu yang terkenal dengan seni ukiran dan pembinaan yang unik di Negeri Sembilan suatu ketika dahulu.
Ikon pelancongan tersebut telah mula dibuka kepada orang ramai bermula 10 Februari lepas.
Rumah berusia 140 tahun itu terletak bersebelahan Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti di Kuala Pilah dan memaparkan kehebatan seni bina pertukangan Melayu tanpa menggunakan paku, sebenarnya telah dipindahkan daripada tapak asalnya di Kampung Tengah.
Rumah Tukang Kahar telah melalui fasa baik pulih dan ketika ini hanya 15 pelawat sahaja dibenarkan berada di atas rumah kayu berkenaan pada satu-satu masa, dengan waktu lawatan bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang.
Tukang Kahar atau nama sebenarnya Kahar Siak Bakhi merupakan seorang tukang kayu dan pengukir yang berasal dari Kampung Tengah. Tukang Kahar mewarisi ilmu dan kemahiran pertukangan daripada bapanya, Siak Bakhi, yang juga bekerja sebagai tukang kayu dan berasal dari Acheh.
Seni ukiran yang dihasilkan oleh Tukang Kahar sangat berlainan dengan ukiran milik tukang lain. Oleh kerana hasil tangannya yang unik ini, maka beliau hanya terlibat dalam kerja pertukangan bangunan penting, seperti istana dan masjid serta tidak melibatkan diri dalam pertukangan rumah kediaman, melainkan rumah miliknya sendiri. Ini bagi memastikan kualiti seni ukiran yang dihasilkan tetap terpelihara.
Malah disebabkan keunikan hasil pertukangan itu, Tukang Kahar turut diberikan kepercayaan untuk membina Istana Lama Seri Menanti, istana kayu setinggi empat tingkat dengan menggunakan pasak.
Istana berkenaan mempunyai 99 batang tiang, termasuk empat batang tiang seri yang panjangnya 67 kaki dan kerja pembinaan bermula pada tahun 1902 dan siap pada tahun 1908 manakala kediamannya telah dibina pada tahun 1880-an.
P/S: Menarik, kan cerita Si Tukang Kahar ni? Kalau korang nak tengok sendiri kehalusan dan kehebatan beliau, jangan lupa singgah ke rumah ini jika korang bercuti ke Negeri Sembilan.
Sumber: Bernama & Kredit Foto: Harian Metro
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah